Saya amat yakin akan keikhlasan dan kejujuran Ustaz Hasrizal(Abu Saif) ketika menitipkan nasihat dan teguran ini. Dan, bagi saya terguran atau nasihat ini amat kena pada masanya.
Tajuk asal entry beliau ialah Keghairahan Menjadi Selebriti Agamawan (Yang Membinasakan). Saya paparkan sahaja di sini.
Alhamdulillah, Allah menjadikan proses melarikan diri daripada lensa itu mudah buat saya. Dia yang memudahkan. Mungkin kerana saya sendiri, juga masih kelam-kelam di pinggiran disimbah cahaya studio dan gemerlapan pentas. Belum jadi bintang. Belum jadi purnama.
Keberagamaan hari ini amat membingungkan.
Bagi mahasiswa dan mahasiswi sarjana muda Pengajian Islam semasa, jauhkanlah diri daripada menjadi selebriti sebelum habis mengaji. Jangan sekali-kali mencita-citakannya. Lebih baik, hindari lensa, hindari publisiti sebelum usia mencecah 30′an. Sibukkan diri dengan mengaji.
Menjadi selebriti itu bererti, di alam realiti pendapatmu dinilai berdasarkan populariti. Jarang kerana hujah dan ilmu. Maka, kukuhkan dulu ilmu dan pengalaman, sebelum engkau menyerah leher kepada kehidupan yang berisiko tinggi itu. Hakikat menjadi selebriti agamawan, kesilapanmu dipertahankan peminat, kebenaranmu dicemburui lawan. Selamatkah dirimu, tanpa ilmu yg jitu?
Justeru, dalam banyak keadaan, rebutlah kelebihan menjadi insan bertaqwa yang tidak dikenali. Viral, trend, populariti, ia adalah ujian yg berat. Mengapa engkau dengan sengaja menempa susah? Apatah lagi kesusahannya adalah beban yang jauh dari berbaloi.
Setiap kali berpendapat, engkau boleh melapikkan ‘fatwa’mu dengan permohonan maaf dan meminta nasihat jua teguran. Tetapi agama mengkehendaki kita tawadhu’ dengan ilmu mendahului tawadhu’ dengan mad’u. Tawadhu’ dengan ilmu bererti kita membataskan diri daripada berkata-kata pada perkara yang kita tiada pengetahuan mengenainya.
Pengetahuan ialah apa yang kita pelajari, kita dalami, kita fahami. Bukan apa yang kita dengar, tidak sekali-kali sekadar meminjam apa yang orang kata. Jika salah, salah yang berkata, bukan salah kita yang meminjamnya.
Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berpesan di dalam Majmū’ al-Fatāwā beliau:
![]() |
Dek kerana bahayanya perbuatan memetik buah sebelum ranum, rancangan-rancangan realiti keagamaan itu berbahaya.
Jika dalam dunia masakan, Chef Wan risaukan chef segera melalui rancangan realiti masakan, kita pula risaukan ulama segera yang dihasilkan oleh rancangan realiti di kaca televisyen.
Mendengar ceramah-ceramah alumni program realiti televisyen yang banyak itu, sungguh dukacita hati saya dibuatnya. Demikianlah akibat mensesiakan usia muda yang sepatutnya diisi dengan belajar, bukan mengajar, biar pun berdakwah masih fardhu ain dalam rutin seharian masing-masing.
Al-Imam al-Shāfi’ī rahimahullāh berpesan, seperti yang ternukil di dalam Fath al-Bārī, syarah kepada Sahih al-Bukhārī:
Mengapa tergesa-gesa beraksi di lensa, sebelum ilmu secara amanah disemat di dada? Lidah tidak bercabang, lancar berkata-kata, tidak selancar mata membaca dan akal memikirkannya. Jika televisyen mensyaratkan ada ASAS agama, maka ASAS itulah racunnya, kerana pada usia yang begitu muda, kalian sudah sibuk ke sana sini mengajar (kalau boleh dikatakan mengajar), bila masanya yang ASAS itu hendak ditambah, diperbaiki dan ditingkatkan?
Jika zaman belajar tidak rancak belajar, mustahil zaman mengajar boleh rancak mengajar. Kecuali ada penyakit yang direstui penyebarannya.
Dek besarnya bebanan berkata-kata di pentas ceramah, apatah lagi di depan lensa, saya sendiri lebih tenang menulis berbanding berceramah. Sebelum menulis, saya kena membaca dan punya ruang berfikir sebelum menyebarkannya.
Ceramah, mudah benar kemalangan ilmu berlaku.
Semoga Allah ampunkan saya, bekas orang muda yang banyak bercakap, bakal orang tua yang kurang beramal. Sekadar berkongsi nasihat buat yang sudi.
(Dan amaran buat yang enggan bermuhasabah diri)
Sumber: Saiful Islam
INFO TAMBAHAN/ULASAN
Selebriti agama atau Ustaz/Ustazah Selebriti, kadang-kadang popularitnya mengalahkan para artis. Benar, tingkah laku dan penampilan mereka jauh lebih islamik berbanding kebanyakkan artis, namun kadang-kadang bahaya yang dicipta oleh mereka, berkali ganda lebih merbahaya berbanding artis.
Ambil contoh mudah, jika Neelofa, Hanez Suraya atau Tasya Shila bercerita tentang agama termasuklah perihal hari kiamat atau menulis hadis-hadis tertentu di facebook atau lain-lain laman sosial milik mereka, pasti sahaja tidak ada yang terus ‘menelan’ tulisan-tulisan tersebut atau sekurang-kurangnya mereka akan tertanya-tanya tentang kebenaran cerita dan kesahihan hadis yang ditulis oleh artis-artis tersebut,meskipun mereka adalah peminat tegar artis-artis tersebut.
Tapi, jika selebriti agamawan yang bercerita tentang perihal agama baik di kaca tv, mahupun di laman sosialnya, pasti sahaja ia akan terus ditelan, dicerna dan dihadam tanpa soal. Ia akan diterima buat-bulat, dan lebih teruk teruk ia akan dipertahankan bermati-matian oleh peminat tegarnya meskipun adakalanya ia hanyalah cerita rekaan atau dakwaan yang tidak berasas.
Benarlah kata Ustaz Hasrizal:
“Menjadi selebriti itu bererti, di alam realiti pendapatmu dinilai berdasarkan populariti. Jarang kerana hujah dan ilmu.”
Lihat sahaja di Youtube, betapa peminat-peminat tegar ustaz selebriti tertentu bermati-matian mempertahankan hujah ustaz tersebut walaupun ternyata ia amat tersasar dari kebenaran dan sangat terpesong dari fakta dan realiti.
Pernah dahulu, ada Ustaz Selebriti yang bertindak mengharamkan produk-produk tertentu sesuka hatinya, dan bila ada individu yang menyeru agar merujuk kepada badan yang lebih berautoriti, iaitu JAKIM tentang status produk tersebut, maka melentinglah peminat tegar Ustaz Selebriti berkenaan dan dengan penuh ketaksuban dia berhujah:
“kau nak jadi kafir ke?.. Ulama kau tak nak dengar, tapi nak dengar jawapan puak-puak jahil( maksudnya -JAKIM)”
Inilah bahayanya apabila pendapat dinilai berdasarkan populariti dan bukan kerana hujah. .