Saya ingin berkongsi tulisan DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA, Ketua Pengarah JAKIM sebagaimana yang disiarkan di fanpage JAKIM
Telah dimaklumi bahawa Al-Quran adalah syifa’ (kesembuhan) dan rahmat kepada semua makhluk (al-alamin).
Menurut Sumber Perundangan Islam di sana ada konsep Sad Al-zarai’e (سد الذرائع) iaitu menutup segala punca atau pintu yang boleh membawa kepada kerosakan (mafsadah) atau penyelewengan.
Melalui konsep ini pemerintah atau pihak berkuasa mempunyai hak untuk menghalang sesuatu yang pada asalnya harus dengan menggubal peraturan atau undang-undang untuk menjaga kemaslahatan Agama sekiranya sesuatu yang harus tersebut dikhuatiri akan menimbulkan penyelewangan atau implikasi yang buruk kepada Agama Islam.
Merujuk kepada isu produk yang dibacakan ayat Al-Quran adalah sesuatu yang baru dilakukan.
Persoalannya adalah:
- Adakah ayat Al-Quran tersebut dapat dipastikan dibaca dengan betul,
- Apakah tujuannya juga dapat dipastikan betul,
- Adakah produk yang diruqyah itu mengikut kaifiat yang betul
- Adakah orang yang melakukan ruqyah itu mempunyai kelayakan?
Akan timbul pula isu adakah setiap makanan perlu dibacakan ayat Al-Quran atau produk-produk yang lain seperti hartanah, kereta dan lain-lain lagi juga perlu dibacakan ayat Al-Quran untuk memberi nilai tambah tertentu lalu dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi?
Sekadar membaca ayat Al-Quran di premis tertentu untuk mendapatkan barakah dan yang lebih penting mengimarahkannya dengan Al-Quran adalah sesuatu yang harus namun untuk dikomersialkan adalah sesuatu yang akan membuka pintu-pintu penyelewengan.
Oleh itu saya lihat bahawa pengkomersilan ayat Al-Quran yang dilakukan oleh sesetengah pihak adalah tidak wajar dan ia akan menimbulkan salah tanggapan terhadap Agama Islam. Lebih malang lagi ia akan menjejaskan akidah jika pembeli beranggapan bahawa makanan yang dibacakan Al-Quran adalah lebih tinggi kedudukannya/mulia, halal, selamat dan lebih baik daripada produk lain yang sama, sedangkan dalam Islam yang dititikberatkan adalah kaedah penyembelihan/proses yang menepati Syariat, kebersihan dan kualiti makanan itu sendiri.
Bayangkan sekiranya produk yang diisytiharkan telah dibacakan ayat Al-Quran tersebut tercemar atau ditiru oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan pembeli yang memakannya ditimpa penyakit, apakah ini juga tidak akan menjadi isu?
Kesimpulannya; pihak Jakim sentiasa melihat sesuatu isu itu menurut pelbagai sudut pertimbangan yang mana syarak adalah sebagai terasnya.