Sebelum menyaksikan perlawanan akhir antara Johor Darul Takzim(JDT) dan Pahang Darul Makmur, eloklah kita mengetahui serba sedikit info dan sejarah Piala Malaysia.
Sejarah Piala Malaysia bermula dengan Piala Malaya yang dipertandingkan pada awal tahun 1921. Kejohanan pada waktu itu disertai oleh negeri-negeri Tanah Melayu.
Piala Malaya kemudiannya dikenali sebagai Piala HMS Malaya yang diambil sempena nama kapal perang HMS Malaya sebelum diberhentikan dari tahun 1942 hingga 1947, akibat Perang Dunia kedua. Piala HMS Malaya akhirnya dimulakan semula pada tahun 1948.
Pada tahun 1967, Piala HMS Malaya digantikan dengan Piala yang baharu iaitu Piala Malaysia yang tidak lama kemudian, pasukan dari Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei mula menyertai Piala Malaysia.
Pada tahun 1999, bilangan pasukan yang memasuki Piala Malaysia bertambah sebanyak 12 pasukan. Setahun selepas itu, bilangan pasukan meningkat kepada 16 pasukan.
Piala Malaysia dipertandingkan pada setiap tahun mengikut format yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan perlawanan akhir Piala Malaysia akan menutup tirai musim tahunan bola sepak negara Kini setelah lebih 90 tahun, Piala Malaysia masih lagi menjadi rebutan hangat antara pasukan –pasukan bola sepak tanah air.
Sumber : Dipetik dan diubahsuai daripada Utusan Malaysia, 28.Oktober 2014.