Quantcast
Channel: shameel iskandar
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

HUKUM BERPUASA SELEPAS PERTENGAHAN SYA’BAN.

$
0
0


Ini adalah sambungan daripada tajuk lepas 

Sudah lama saya mendengar isu ini daripada beberapa orang ustaz dan sahabat, namun selama ini saya tercari-cari dalil. Syukur kepada Allah kerana saya terjumpa sebuah perjernihan terhadap isu ini, dan di sini saya ambil kesempatan untuk berkongsi bersama. Moga Allah merahmati dan meredhai penulis asal entry ini, iaitu WADI 

Dalam bab ini terdapat beberapa pendapat berkenaan hukum berpuasa selepas 15 Sya'ban, antaranya: 

1- HARAM: 

Mazhab az-Zahiri mengharamkan berpuasa selepas 15 Sya'ban dalil mereka adalah hadis yang kita bincangkan diatas iaitu " Apabila tiba setengah Syaaban [15 sya'ban], maka janganlah berpuasa", dan dinukilkan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah, bahawa disebutkan Ibn Hazm dalam al-Muhalla' maksud haram itu bukanlah beerti haram berpuasa setiap hari selepas 15 Sya'ban secara keseluruhan, akan tetapi hanya pada 16 Sya'ban, kata Ibn Hazm dalam al-Muhalla': "larangan untuk berpuasa hanyalah untuk tanggal 16 sahaja. Itulah hari seseorang tidak boleh berpuasa" [rujuk al-Muhalla' Ibn Hazm, juz 7, hal 25-26, dinukil dari al-Mufassal Dr. Abdul Karim Zaidan] 

Ini kerana adanya hadis riwayat Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu" [Sahih Bukhari (hadis no:1914), Sahih Muslim (hadis no:2514)] . Hal yang sama juga disebutkan oleh Syaikh al-Muhaddith Dr. Mahir Yasin al-Fahl [rujuk al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah, Dr Abdul Karim Zaidan, bab larangan berpuasa selepas nisfu Sya'ban dan Athar Ilal Hadis Fi Ikhtilaf Fuqaha', Dr. Mahir Yasin al-Fahl, subtopik: hukum berpuasa selepas nisfu Sya'ban sehingga Ramadhan] 

2- MAKRUH: 

Sebahagian fuqaha' menyatakan bahawa Makruh berpuasa selepas 15 Syaban jika seseorang itu tiada kelaziman berpuasa secara adat [kerap] pada bulan Syaban. Antara yang mendokong pendapat ini adalah jumhur Mazhab as-Syafie. 

Dalil mereka adalah hadis yang kita bincangkan diatas iaitu hadis "Apabila tiba setengah Syaaban [15 Sya'ban], maka janganlah berpuasa", dan digabungkan dengan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu" -Sahih Bukhari (hadis no:1914), Sahih Muslim (hadis no:2514). [rujuk kitab al-Maudhuat dan penjelasan at-Tirzmizi dalam Sunannya selepas meriwayatkan hadis yg kita dibincangkan diatas, serta Athar Ilal Hadis, Dr. Mahir Yasin al-Fahl] 

 3- DIBOLEHKAN DAN TIDAK MAKRUH:

Mazhab jumhur fuqaha' lainnya membolehkan berpuasa dan tidak makruh berpuasa selepas 15 Sya'ban, kerana hadis yang melarangnya adalah Dhaif [iaitu hadis yang kita bincangkan diatas]. 

Kesimpulannya, pendapat yang kuat adalah pendapat yang ketiga. Iaitu boleh berpuasa selapas nisfu Sya'ban, ini sebagaimana kata Imam as-Syaukani ketika membincangkan masalah ini dalam Nailul Authar: ''jumhur ulama membolehkan dan tidak melarang puasa selepas nisfu Sya'ban [selapas 15 Sya'ban] kerana hadis yg melarangnya adalah DHAIF" [rujuk Nailul Authar,as-Syaukani]. 

Begitu juga kata syaikh al-Muhaddith Dr. Mahir Yasin al-Fahl dalam masalah ini: "Mazhab jumhur inilah yang paling kuat [rajih], tiadanya makruh serta dibolehkan berpuasa pada bahagian kedua Syaban [selepas 15 Sya'ban] kerana Dhaifnya hadis al-A'laa…" [rujuk Athar Ilal hadis fi ikhtilaf fuqaha;, Dr. Mahir Yasin al-Fahl] 

Akan tetapi perlu diingat bahawa jika seseorang itu mendahului sehari atau dua hari sebelum Ramadhan dengan berpuasa sedangkan ia bukanlah puasanya yang biasa dia lazimi kebiasaaannya, iaitu dia hanya berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan misalnya dengan niat khusus untuk menyambut Ramadhan dan seumpamanya,perbuatan ini adalah terlarang, dalilnya adalah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu" [Sahih Bukhari (hadis no:1914), Sahih Muslim (hadis no:2514)]. 

Antara hikmah larangan ini disebut oleh Dr. Abdul Karim Zaidan iaitu adalah "agar tidak tercampur antara puasa sunnah dan puasa fardhu, iaitu puasa Ramadhan. Larangan ini sebetulnya tidak berlaku bagi mereka yang kebiasaaanya [adat] berpuasa sunnah bertepatan dengan hari tersebut. Ada juga yang mengatakan hikmah larangan untuk melakukan puasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan adalah kerana puasa Ramadhan kewajipannya bergantung pada Ru'yat Hilal, barangsiapa yang [sengaja dan bukan puasa adat] mendahului bulan Ramadhan dengan sehari atau dua hari puasa seolah-olah dia berusaha memutuskan hukum tersebut,iaitu hukum kewajipan berpuasa Ramadhan mengikut Ru'yat Hilal, demikian penakwilan [fuqaha'] mengenai hikmah larangan ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarah Jami' Tirmizi [rujuk al-Mufassal, Dr. Abdul Karim Zaidan, bab mendahului Ramadhan denga sehari atau dua hari puasa]

Oleh: Dr. Muhammad Fathi Ali Al-Sakandari 
Disemak Oleh: Ustaz Anwaruddin Disunting Oleh: WADi.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644