Ketua Pembangkang merupakan satu jawatan penting di Parlimen. Jawatan ini akan disandang oleh mana-mana Ahli Parlimen(MP) daripada parti-parti Pembangkang. Kepada sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan politik Tanah Air, pasti sahaja mengetahui kekosongan jawatan Ketua Pembangkang di Malaysia, ekoran Mahkamah Persekutuan memutuskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari.
Siapakah yang bakal mengii kekosongan tersebut?
Adakah Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, atau Penasihat DAP, Lim Kit Siang, atau sesiapa sahaja dari kalangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
Biarlah semua itu menjadi teka-teki.
Berikut merupakan senarai Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia.
- 1. Dr. Burhanuddin Muhammad Nur al-Hilmi (PAS): 1959 – 1964
- 2. Tan Sri Dr Tan Chee Koon (Parti Buruh Malaya – LPM): 1964-1969
- 3. Tan Sri Muhammad Asri Muda ( PAS) : 1971 – 1973
- 4. Lim Kit Siang (DAP) : 1973 – 1974
- 5. Datuk James Wong Kim Min (SNAP) : 1974
- 6. Datuk Seri Edmund Langgu (SNAP) : 1974-1975
- 7. Lim Kit Siang (DAP) : 1975-1999
- 8. Datuk Fadzil Mohd Noor ( PAS) : 1999-2002
- 9. Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) : 2002-2004
- 10. Lim Kit Siang (DAP) : 2004-2008
- 11. Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR) :2008
- 12. Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) : 2008-2013
- 13. Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) : 2013 –(dipenjarakan)
Sejarah Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia.
Sejujurnya saya lebih tertarik dengan tulisan Subky Abdul Latif dalam bukunya berjudul Fadzil Noor, Dia Guru Dia Kawan, berbanding fakta daripada Berita Harian ini. Buku yang diterbitkan oleh Kemilau Publika, cetakan Disember 2012 ini memerihal kisah hidup dan kehidupan serta perjuangan Almarhum Ustaz Dato Fadzil Noor, bekas Presiden PAS. Pada Bab 11, iaitu Ketua Pembangkang,ia mengenai perlantikan dan peranan serta perjuangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor sebagai Ketua Pembangkang. Dalam bab tersebut juga ada menceritakan sedikit sebanyak fakta mengenai sejarah jawatan Ketua Pembangkang.
Dan, saya beranggapan tulisan beliau yang lebih sahih dan lebih tepat tentang sejarah Ketua Pembangkang di Malaysia, ini memandangkan beliau selain daripada aktivis politik, beliau juga merupakan bekas wartawan dan penulis yang amat berpengetahuan dan sangat berpengalaman. Boleh jadi juga, jawatan Ketua Pembangkang sebelum tahun 1972, merupakan jawatan tidak rasmi.
Mengikut Subky Latif, jawatan Ketua Pembangkang diperkenalkan pada tahun 1972. Parti-parti pembangkang selepas kejadian 13 Mei 1969 menuntut supaya jawatan Ketua Pembangkang diwujudkan seperti di Britain, Australia dan lain-lain kerajaan demokrasi berparlimen.
Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Abdul Razak bersetuju untuk mewujudkannya, dan meminta parti-parti pembangkang berunding siapa di antara mereka yang hendak dicalonkan.
Semua parti pembangkang bersetuju agar ia digilirkan setahun seperti giliran Ketua Menteri Sabah di bawah Dr. Mahathir. Tetapi PAS bersetuju kalau ketuanya menjadi Ketua Pembangkang yang pertama. Semua pihak akhirnya bersetuju untuk mencalonkan Dato Muhammad Asri Haji Muda menjadi Ketua Pembangkang sepanjang tahun 1972.