Buku ini ditulis oleh Allahyarham Drs. Abdul Ghani bin Haji Idris,seorang ulama kelahiran Kelantan . Beliau dilahirkan pada 30 Januari 1933 dan meninggal dunia pada 4 April 1998. Allahyarham adalah seorang ilmuan hadith yang mewakafkan hidup dan kehidupannya untuk mempelajari dan mengkaji hadith hinggalah ke hembusan nafas terakhirnya. Buku ini adalah sebahagian daripada beberapa buah buku yang dihasilkan oleh Allahyarham.
Lebih lanjut tentang latar belakang dan sumbangannya, sahabat disyorkan merujuk buku berjudul Tokoh-Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu(2) yang diselenggarakan oleh Ismail Che Daud dan diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan. Ia dimuatkan pada halaman 443 hingga 451 buku tersebut.
Memandangkan Sya’ban masih berbaki dan Ramadhan pula bakal menjelma, maka elok sekali buku yang ditulis oleh ilmuan dan pengkaji hadith ini dibaca,di hayati dan dirujuk. Mudahan-mudahan segala amal ibadat yang kita laksanakan pada bulan-bulan tersebut benar-benar menepati tuntutan agama dan betul-betul murni serta tidak tergelincir dari landasan tersebut. Buku setebal 264 halaman ini diterbitkan oleh Al-Hidayah Publisher. Cetakan pertamanya ialah pada tahun 1995, iaitu tiga tahun sebelum kematiannya.
Dalam buku ini, Drs. Abdul Ghani bin Haji Idris, selaku pengkaji hadith telah menyatakan status hadith-hadith tentang kelebihan bulan Muharram,Rejab,Sya’ban dan Ramadhan. Lantas, mengajak umat islam agar beramal berpandukan Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih agar ibadat benar-benar murni dan menepati piawaian yang ditetapkan oleh Maha Pencipta.
Beliau memang terkenal kerana ketegasannya dalam menentang amalan-amalan khurafat dan bid’ah dalam masyarakat umat Islam. Beliau pernah menyatakan kekesalannya tentang banyaknya penggunaan hadith-hadith dhaif dan malahan maudhu’ dalam kehidupan keagamaan umat Islam, yang akibatnya tidak lain ialah: berlakunya penyimpangan amalan dari ajaran atau sunnah Rasulullah S.A.W.
Antara isu yang disentuh oleh beliau ialah amalan Puasa sunat Nisfu Sya’ban, Amalan membaca Yassin dengan Kafiat yang khusus dan doa yang tertentu serta perihal fadilat atau kelebihan solat terawih mengikut malam-malam tertentu.
Memang banyak amalan atau amal ibadat yang dilakukan oleh umat islam termasuklah di Malaysia selama ini yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah. Masyarakat menerima amalan tersebut sejak turun temurun tanpa sedikitpun rasa sangsi. Apatah lagi, amalan-amalan tersebut diketuai oleh golongan berlabel agama yang memakai uniform alim, warak dan taqwa. Sedangkan amalan-amalan tersebut menyimpang dari amalan dan ajaran Nabi Muhammad S.A.W dan tidak pernah diamalkan para sahabatnya dan tidak pula dikerjakan oleh para Salafus-Soleh.
Sekali lagi saya tegaskan, buku ini amat wajar untuk dimiliki oleh setiap umat islam, untuk dibaca,dirujuk dan dihayati serta diamalkan. Moga-moga amal ibadat yang kita laksanakan benar-benar berpaksikan agama dan bukannya hasil reka cipta manusia.
![]() |
(Drs . Abdul Ghani Azmi Hj Idris) |
Maklumat Tambahan:
Buku ini dicetak buat kali pertamanya pada tahun 1995. Di dalam buku tersebut, Drs. Abdul Ghani bin Haji Idris membongkar kepalsuan hadith tentang kelebihan atau fadilat solat tarawikh yang bermula sejak malam pertama hingga malam terakhir bulan Ramadhan. Sebelum ini amat ramai umat islam di Malaysia terutamanya yang amat mempercayai Fadilat ini. Selain, dicetak pada risalah-risalah agama dan disebarkan di masjid dan surau, fadilat solat terawikh juga seringkali disiarkan di dalam TV dan Radio.
Jadi,berdasarkan tahun cetakan buku ini, tidak keterlaluan jika saya katakan, Drs Abdul Ghani adalah antara orang terawal yang membongkar kepalsuan hadith mengenai Fadilat Solat Terawikh. Ini kerana sehingga tahun 2000, Fadilat Solat Terawikh masih lagi disebut-sebut di kebanyakkan masjid dan surau. Malah ia giat dipromosikan menerusi risalah-risalah baik di sekolah mahupun Universiti. Tahun-tahun sesudahnya, orang ramai mulai menyedari kepalsuan fadilat tersebut hasil kegigihan para ulama hadith termasuklah Drs. Abdul Ghani.
Ramai peminat-peminat ilmu hadith yang amat mengagumi Almarhum Sheikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Memang beliau berhak untuk dikagumi kerana ilmu dan jasanya dalam bidang hadith. Namun, saya tidak menyetujui dengan sesetengah pihak yang terlalu taksub dengannya. Jika Albani telah memperuntukan sebahagian besar masanya di perpustakaan untuk mengkaji dan menyemak hadith, keadaan yang hampir sama turut dilakukan oleh Drs Abdul Ghani bin Haji Azmi. Selepas bersara dari menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Kota Bharu dan mengundur diri dari mengetuai ABIM Negeri Kelantan pada Disember 1988, Drs Abdul Ghani telah ‘memenjarakan’ diri di kamarnya. Setiap saat dan waktu dimanfaatkan untuk membaca, menulis, menyalin, menyemak dan menterjemah. Selama tempoh ini dia tidak kemana-mana. Beliau hanya keluar rumah sekali-sekala, itu pun lebih banyak atas urusan keluarga.
Menurut isterinya, masa kerja beliau cukup padat, iaitu mulai jam 7.30 pagi hingga 12.00 malam. Tidak ada masa rehat, kecuali untuk makan, mandi dan solat. Jadual ini berlangsung tetap untuk selama lima tahun pertama, ertinya sehingga 1993. Mulai 1994 jadual ini berkurang sedikit, tetapi tetap tidak ada hari yang sunyi dari bunyi ketikan mesin taip di rumahnya (beliau masih menggunakan cara lama dalam menulis). Malah, sehinnga pada waktu beliau ditimpa sakit pada 1996 pun, beliau masih lagi aktif menulis dan menyemak pruf untuk buku-bukunya.
Allahyarham memang gigih memartabatkan ilmu agama dan tegas memerangi khurafat dan bid’ah. Allahyarham amat meminati dan mencintai ilmu hadith. Allahyarham juga telah mewakafkan hidup dan kehidupannya demi agama. Pemergian beliau amatlah dirasai oleh para pencinta agama. Moga damai engkau di sana wahai Sang Murabbi
Tajuk Lain Yang Berkaitan: Fadilat Solat Terawikh Adalah Palsu