Banjir besar yang melanda negara pada penghujung tahun 2014 merupakan banjir yang terburuk dalam sejarah negara. Negeri Kelantan merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir tersebut, malah mungkin paling buruk dalam sejarah negeri Kelantan. Tentang sejarah banjir besar di Kelantan, langsung sahaja ke - -> SINI
Selain Kelantan, beberapa negeri -negeri yang lain juga turut dilanda banjir besar, terutamanya Pahang dan Terengganu. Walaupun begitu, banjir pada penghujung 2014 itu tidaklah sedahsyat banjir-banjir yang pernah melanda negara tertentu yang mengorbankan jutaan nyawa.
Berikut adalah enam banjir terdahsyat yang pernah direkodkan dalam sejarah dunia. Artikel asalnya disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 4 Januari 2015. Saya paparkan di sini untuk merakyatkan info atau maklumat tersebut dengan gaya bahasa dan pendekatan tersendiri.
6 BANJIR PALING DAHSYAT DALAM SEJARAH DUNIA.
Banjir di China Tengah (1931)
Banjir besar yang berlaku pada tahun 1931 ini dianggap sebagai antara banjir terburuk yang pernah direkodkan dalam abad ke-20. Dianggarkan antara 3.7 juta hingga 4 juta orang yang terbunuh dalam tragedi banjir tersebut, ia termasuklah mereka yang meninggal dunia kerana wabak penyakit berjangkit yang berpunca daripada banjir tersebut.
Banjir ini bermula dengan kemarau berpanjangan dari tahun 1930, kemudian keadaan cuaca yang tidak normal bermula pada pada musim sejuk di penghujung tahun 1930, diikuti pula dengan pencairan ais dan hujan lebat yang berterusan yang menyebabkan paras air Sungai Yangteze meningkat secara mendadak.
Banjir ini mengorbankan lebih 145 ribu orang manakala berjuta nyawa lagi meninggal kerana penyakit bawaan banjir .Lebih 28.5 juta penduduk China dilaporkan terjejas akibat bencana tersebut.
Banjir di Sungai Yangtze , China(1935)
Banjir dahsyat yang berlaku pada tahun 1935 ini merupakan yang kelima terbesar yang direkodkan di dalam sejarah dengan angka kematian mencecah 145 ribu orang. Berjuta lagi penduduk yang terselamat terpaksa berhadapan dengan masalah lain termasuklah kehilangan tempat tinggal, kebuluran, cedera, kehilangan punca pendapatan dan harta benda.
Sungai Yangtze merupakan sungai yang terpanjang di Asia dan ketiga terpanjang di dunia. Sungai sepanjang 6,300 kilometer, yang nadi kehidupan bagi sebahagian warga China ini telah berkali-kali menyaksikan tragedi banjir besar yang sangat dahsyat.
Selain banjir besar yang berlaku pada tahun 1931 dan 1935, banjir besar yang berlaku pada tahun 1954 telah mengorbankan seramai 30 ribu nyawa, manakala banjir besar yang berlaku pada tahun 1998 pula telah menyebabkan kematian seramai 3,656 orang.
Banjir Sungai Kuning, China( 1938)
Banjir ini bukanlah disebabkan oleh bencana alam, tapi ia berpunca daripada dasar kerajaan. Ia berlaku ketika Perang China-Jepun yang kedua. Kerajaan yang memerintah negara China pada waktu itu terpaksa ‘mencipta’ banjir tersebut untuk mengekang kemaraan tentera Jepun.
Ketika bermulanya Perang China-Jepun Kedua pada tahun 1937, tentera Jepun telah mara dengan begitu pantas ke wilayah China. Pada Jun 1938, tentera Jepun telah menguasai seluruh wilayah Utara China. Bagi menyekat kemaraan tentera Jepun ke wilayah-wilayah Selatan China, Chiang Kai Shek, atas cadangan Chen Guafo telah bertindak membuka benteng di Sungai Kuning berdekatan Zhengzhou.
Tindakan ini menyebabkan berlakunya limpahan air sungai dan banjir besar di Henan,Anhui dan Jiangsu. Ia meliputi kawasan seluas beribu kilometer persegi. Banjir ini menyebabkan kemusnahan yang besar. Beribu perkampungan telah musnah dan berjuta penduduk telah kehilangan tempat tinggal. Malah, dianggarkan sekitar 800 ribu penduduk mati lemas dalam kejadian tersebut.
Banjir di Hanoi dan Kuala Sungai Merah, Vietnam ( 1971)
Banjir dahsyat ini dianggarkan telah mengorbankan sekitar 100 ribu orang. Bilangan sebenar mungkin lebih dari itu. Sebenarnya amat sukar untuk memperolehi maklumat yang tepat mengenai angka korban tersebut, ini memandangkan banjir tersebut berlaku ketika Perang Vietnam.
Kerosakan Empangan Banqiaq, China (1975)
Empangan ini terletak di Sungai Ru dalam bandar Zhumadian di wilayah Henan, China. Empangan tersebut dikatakan gagal menampung air yang terlampau banyak . Sebenarnya empangan ini merupakan antara 62 empangan yang gagal berfungsi secara tiba-tiba semasa serangan Taufan Nina pada tahun 1972.
Kerosakan empangan ini dan empangan lain menyebabkan 15,738 billion millimeter padu air dilepaskan dalam tempoh 11 jam. Air yang dilepaskan itu telah membentuk ombak besar sehingga tujuh meter tinggi dan sepuluh kilometer lebar. Akibatnya, tujuh daerah telah dilanda banjir yang melibatkan kawasan seluas beribu kilometer persegi.
Mengikut laporan, sekitar 231 ribu penduduk telah menjadi mangsa korban banjir tersebut. Lebih 86 ribu mati akibat banjir, manakala 145 ribu orang lagi meninggal dunia akibat jangkitan wabak penyakit.
Banjir Lumpur Vargas, Venezuela ( 1999)
Vargas merupakan sebuah negeri kecil di Venezuela. Banjir lumpur yang berlaku antara 14 hingga 16 Disember 1999, telah meragut lebih 20 ribu nyawa penduduknya. Bilangan korban tersebut mewakili 10 peratus populasi Vargas.
Banjir lumpur tersebut turut memusnahkan ribuan rumah dan meranapkan infrastruktur di Vargas. Seluruh bandar di negeri tersebut ditenggelami banjir lumpur.
Tajuk Lain Yang Berkaitan.