Quantcast
Channel: shameel iskandar
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

BEZA ANTARA RAYA DAHULU DAN RAYA SEKARANG.

$
0
0

Saya terkenang kembali detik-detik indah zaman kanak-kanak ketika menyambut satu syawal, sebaik sahaja terbaca sebuah artikel di akhbar harian metro yang bertarikh 25.Julai.2015. Tulisan tersebut bertajuk raya dulu raya sekarang. Jujur dan ikhlas, ia memang menepati realiti hari ini, di mana segala keindahan dan keriangan menyambut raya telah terhakis dan terkikis di telan arus permodenan. 

Sesiapa sahaja yang menempuhi alam kanak-kanak sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, pasti merindui kembali detik-detik yang telah pupus di telan waktu. Ternyata berbeza sekali antara raya dahulu dengan raya sekarang, dan entah bagaimana pula raya pada masa akan datang. 

KAD RAYA

Nostalgia kad raya yang begitu melekat di hati. Sebenarnya masih ada beberapa keping kad raya dalam simpanan saya. Sengaja saya simpan untuk kenang-kenangan. Dan, saya amat yakin, ramai juga antara kita yang mempunyai nostalgia kad raya. Tidak sekadar nostalgia menerima dan mengutus kad raya, tetapi lebih dari itu. 

Suatu ketika dahulu, kad raya begitu popular. Beraneka warna dan pelbagai bentuk serta saiz. Terdapat kad raya yang bersifat umum dan terdapat juga yang dikhaskan untuk insan atau golongan tertentu, seperti khas untuk guru, suami, isteri,kekasih,tuning, ayah dan ibu serta macam-macam lagi. Malah, terdapat juga kad raya yang berirama(muzik),biasanya dari lagu-lagu raya yang popular. Fungsi kad raya sebenarnya tidak sekadar untuk dibaca, tapi turut dijadikan perhiasan rumah ketika menjelang raya. Ia digantung pada sudut-sudut tertentu seperti tepi jendela atau pada bunga hiasan di ruang tamu. Ketika di alam persekolahan, menerima kad raya adalah satu kebanggaan. Lebih-lebih lagi dari kenalan yang jauh dari negeri berlainan.

Malah, ada beberapa orang sahabat saya yang sanggup membeli dan mengirm(pos) kad raya kepada diri sendiri semata-mata ingin meraih kebanggaan ini. Tapi sayang, itu adalah cerita dahulu kala. Sekarang situasi sebegini hanyalah sebuah nostalgia. Ledakan teknologi maklumat telah mengubah semua itu hingga kad raya hampir pupus. Benar, kad raya masih ada dan budaya mengirim kad raya masih berlangsung tapi ia semakin tersisih. Mungkin satu ketika nanti ia akan pupus sebagaimana pupusnya Dinosaur . Ia tidak mustahil sebab sebelum ini telegram dan poskad telah dipinggirkan dan hanya tinggal di dalam catatan sejarah. Email mengantikan surat dan poskad, handphone mengantikan telegram dan laman sosial pula telah memainkan peranan yang amat besar dalam hidup dan kehidupan manusia. 

Tentang kad raya pula, hari ini seseorang hanya perlu upload gambar(termasuklah gambar kad raya) di facebook dan tagging sahaja kepada mana-mana kenalan. Sejujurnya, kita tidak boleh menyalahkan perubahan-perubahan ini. Malah, dalam banyak-banyak keadaan, ternyata ia lebih baik untuk kita semua. Cuma, sesekali kita merindui kaedah dan pendekatan lama yang pernah akrab dengan kita seperti kad raya. Jadi, kepada sesiapa yang masih menyimpan kad-kad raya dan juga poskad. Simpanlah semua itu sebab suatu masa nanti mungkin ia hanya menjadi sejarah. Mana tahu, pada masa itu anak cucu kita tidak lagi mengenali semua itu. 

BISKUT DAN KUIH RAYA. 

Dahulu Mak dan Kakak yang membuat biskut dan kuih raya untuk dihidangkan kepada tetamu pada hari raya. Kita yang masih kanak-kanak sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk merasai kuih dan biskut tersebut. Kadang-kadang sampai larut malam ibu masih membakar/memasak kuih dan kek tersebut. Beraneka buku resepi menjadi rujukan ibu dan kakak. Tapi semua itu tersimpan rapi di arkib kenangan. Hari ini, kuih dan biskut dibeli di kedai-kedai, dengan rakan-rakan atau secara online. Tiada lagi harum semerbak biskut dan kuih raya dari dapur yang menerpa deria bau, kerana tiada lagi aktiviti membakar/memasak. Tidak sekadar kuih dan biskut raya, malah juadah tradisional seperti ketupat dan tapai juga turut dibeli. Tiada aktiviti bungkus membungkus dan anyam menganyam.

UKHWAH/PERSAUDARAAN

Raya pada masa dahulu amat meriah dengan amalan ziarah menziarahi. Sanak saudara baik yang juah mahupun dekat, jiran sekampung diziarahi sepanjang 1 syawal. Paling meriah, tentu sahaja kanak-kanak, kerana inilah masanya untuk mereka mengumpul duit raya. Saya masih ingat, waktu kanak-kanak dahulu, pada hari raya ketiga pun masih lagi bertandang dari rumah ke rumah di kampung. Hari ini, ziarah menziarahi masih diteruskan tapi tidak serancak dahulu kala. Hari ini, kanak-kanak lebih selesa menghadap televisyen (TV) untuk menonton pelbagai program yang disajikan sempena raya. 

Pada waktu saya kanak-kanak dahulu, tidak semua kelurga memiliki TV dan pada waktu itu juga, hanya TV1, TV2 sahaja yang ada, dan beberapa tahun kemudian TV3 diperkenalkan. Jadi masyarakat mempunyai ruang yang terhad untuk ‘bermesra’ dengan program TV. Jauh berbeza dengan suasana zaman sekarang, selain siaran berbayar ASTRO yang rata-riti dimiliki oleh setiap rumah, laman sosial juga telah merubah segalanya. Facebook, Youtube, WhatsApp antara juadah wajib di hari raya. Malah, ketika menziarahi sanak saudarapun, masing-masing menghadap smartphone dan kurang bersembang. 

Begitulah, bezanya hari raya dahulu dengan sekarang. Kepada sesiapa yang pernah mengalami suasana raya pada masa dahulu, pastinya akan merindui detik dan saat itu. Dan, bagaimana pula dengan suasana raya pada masa akan datang. 

Jika dipanjangkan umur, tentu sahaja kita akan dapat melihat perbezaan yang jauh lebih ketara berbanding dahulu dan kini.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644