Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz, sebagaimana disiarkan dalam akhbar Harian Metro hari ini, mengingatkan pasangan suami isteri agar tidak terlalu leka bersembang di laman sosial terutamanya WhatsApp dan WeChat.
Sejujurnya inilah realiti hari ini, kemesraan antara suami dan isteri makin terhakis. Kasih sayang makin terkikis. Dihakis dan dikikis oleh ledakan teknologi.
Perhatikanlah di mana-mana warung atau restoran, pasti sahaja kita akan terpandang pasangan suami dan isteri yang masing-masing leka bersembang dengan rakan-rakan serta Group WhatsApp sambil menunggu atau menikmati hidangan.
Media sosial teruatamanya WhatsApp sepatutnya digunakan untuk mengeratkan kasih sayang dan mendekatkan ahli keluarga yang dipisahkan oleh jarak. Jika dahulu, semuanya dilakukan dnegan surat menyurat yang memakan masa yang mungin berminggu-minggu lamanya.
Kini semuanya menajdi sekelip mata dengan terciptanya media sosial seperti WhatsApp,WeChat, Skype dan Facebook. Si suami yang ‘out station’ boleh menghubungi isterinya dengan cepat dan mudah dengan menggunakan WhatsApp dan lain-lain media sosial. Anak-anak yang menuntut di luar negara boleh menghubungi orang tuanya bila-bila masa dengan cepat dan selamat berbekalkan WhatsApp.
Jadi, kita perlulah bijaksana dalam memanfaatkan media sosial. Manfaat atau mudaratnya media sosial terlatak di tangan kita. Kita yang menentukan dan kita juga yang bakal menerima kesannya.