Video seorang lelaki menggunakan papa luncur elektronik yang dikenali dengan nama mini-segway ataupun hoverboard ketika sedang melakukan tawaf telah menjadi viral dan mengundang pelbagai pertanyaan.
Alhamdulillah, Mufti Wilayah Persekutuan , Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri telah menjawab dan sekali gus merungkai segala tanda tanya tersebut. Di sini saya sebar luaskan jawapan daripada Mufti yang mulia tersebut. Moga Allah menganugerahkan keberkatan dan pahala yang berkekalan untuknya.
Hukum Menggunakan Alat Tersebut
Melihat kepada nas-nas yang Nabi SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang di atas unta, Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan:
"Maksudnya:“Sesungguhnya Nabi SAW telah tawaf pada haji al-wada’ (haji perpisahan) di atas unta dan beristilam di rukun dengan tongkatnya”. Riwayat Muslim (1272), Abu Daud (1877), Al-Nasa’i (173), Ibn Majah (2948)
Begitu juga dengan hadis Umm Salamah R.Anha yang berkata:
"Maksudnya: Aku mengadu kepada Rasulullah SAW yang aku kurang sihat. Maka jawab Baginda SAW: “Tawaflah belakang orang ramai dan kamu sedang dalam menunggang.” Riwayat al-Bukhari (1633), Muslim (1276).
Di dalam hadis Jabir R.A: Maksudnya: Nabi SAW telah tawaf di atas tunggangan di Ka’abah, sa’i di antara Safa dan Marwah, orang ramai melihatnya dan Baginda dapat menyelia untuk mereka bertanya kepada Baginda, maka sesungguhnya orang ramai mengerumuni Baginda. Riwayat al-Nasa’I (2975)
Berdasarkan nas-nas, jelas menunjukkan kebolehan untuk melakukan tawaf dengan menggunakan kenderaan dan tunggangan (pada waktu itu), tetapi antara sebabnya ialah:
• kerana untuk membimbing orang ramai.
• kerana untuk orang ramai dapat mengikuti dan mempelajari.
• kerana uzur atau sakit.
Justeru, hukum menggunakan alatan tersebut adalah harus.
Pendapat Ulama Di dalam isu ini, terdapat tiga pendapat ulama’ yang utama membincangkannya:
- Pendapat pertama: Sebahagian ulama’ seperti Al-Khiraqi mengatakan bahawa hukum tawaf menggunakan kenderaan atau di bawa tanpa uzur adalah tidak memadai. Ini juga merupakan satu pendapat dalam riwayat Ahmad dan alasannya kerana Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Melakukan tawaf di Ka’bah adalah solat. Riwayat al-Nasa’i (2922)
Oleh kerana tawaf merupakan ibadah yang berkaitan dengan ka’bah maka tidak harus dilakukannya dengan menaiki kenderaan tanpa uzur seperti solat. [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]
- Pendapat kedua: Yang masyhur adalah memadai dan dikenakan dam dan ini adalah pendapat Malik dan Abu Hanifah kecuali Abu Hanifah menambah sekiranya seseorang itu masih berada di Mekah perlu diulang tawafnya itu dan sekiranya sudah pulang, maka hendaklah membayar dam. [Al-Hawi al-Kabir. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 4/151], [Al-Majmu’. Dar al-Fikr, 8/27].
- Pendapat ketiga: hukumnya adalah memadai dan tidak dikenakan dam. Ini ialah pendapat Abu Bakar, mazhab Syaf’ie dan Ibn al-Munzir. Mereka beralasan dengan mengatakan Nabi SAW telah tawaf dalam keadaan menunggang.
Ibn al-Munzir berkata: “Tidak diterima pendapat seseorang setelah adanya perbuatan daripada Nabi SAW kerana Allah SWT telah perintahkan tawaf secara mutlak. Maka dengan cara mana sekalipun ianya memadai dan tidak harus taqyidkan yang mutlak tanpa dalil.” [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]
Tarjih Setelah melihat ketiga-tiga pandangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya selaras dengan mazhab Syafi’e, Ibn al-Munzir dan ramai lagi kerana nas yang sahih lagi sarih (jelas) menunjukkan kearah itu.
Walaupun begitu, beberapa kriteria perlu difahami dan diraikan:
- Tawaf secara biasa (berjalan) jauh lebih afdhal (baik) dan aula (utama) kerana ia merupakan perbuatan Nabi SAW pada kebanyakan keadaan dan juga para Sahabat.
- Raikan adab tawaf dengan sebaik mungkin.
- Penuhi syarat-syarat tawaf agar tidak terbatal.
- Jauhi dari riya’, ‘ujub dan niat bermegah ketika menggunakannya.
- Jangan sesekali melanggar orang ramai atau menyakiti mereka.
Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman sebaik mungkin mengenai hukum tawaf menggunakan segway / mini-segway Akhukum fillah, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan
INFO TAMBAHAN:
Di dalam akhbar sinar harian hari ini(3.9.15),Pembimbing Ibadah Haji Tabung Haji, Sapawi Che Mat menegaskan rukun tawaf tetap sah dengan menggunakan sebarang kenderaan. Tidak kira sama ada individu tersebut sihat atau mempunyai masalah kesihatan.
Cuma, jika berjalan kaki akan dapat pahala sunat,dan rukun tawaf tetap sah walaupun menggunakan kenderaan.
Jangan lupa baca tajuk ini::20 NOVEMBER 1979, TRAGEDI BERDARAH DI MASJIDIL HARAM