Quantcast
Channel: shameel iskandar
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

WAKTU KERJA DOKTOR MESTI DIPERBAIKI , DR. ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN

$
0
0

Tulisan asalnya bertajuk Kematian Dr Afifah: Waktu Kerja Doktor Mesti DiPerbaiki. Ia ditulis oleh seorang tokoh agama terkenal Tanah Air, iatu Dr. Zaharuddin Abd Rahman(UZAR). Tulisan asalnya dimuatkan menerusi laman facebooknya, dan untuk membaca tulisan tersebut langsung sahaja ke --> SINI

Saya paparkan kembali di sini untuk manfaat bersama. Memang ia telah lama ditulis oleh Dr Zaharuddin, dan tragedi yang menimpa Allahyarham Dr. Afifah semakin dilupakan. Namun harus diingat, tragedi tersebut boleh berlaku kepada mana-mana doktor pada bila-bila masa sahaja selagi sistem sedia ada dikekalkan. 

Tanpa membuang masa, saya paparkan sahaja tulisan Dr Zaharuddin tersebut. 

Membaca berita perihal kemalangan Al-Marhumah Dr Afifah, doktor bius yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya pada 9 Julai 2015 membawa kerisauan terhadap kaedah, jadual bekerja para doktor dan kebajikan mereka serta pesakit. Ini penting kerana ia bukan sahaja melibatkan nyawa doktor sendiri malah juga pesakitnya. Kemalangan tersebut dikatakan berpunca di antaranya adalah kerana keletihan akibat tuntutan tugasannya di hospital. Takziah diucapkan kepada keluarga beliau atas pemergian itu. Semoga beliau tergolong dalam golongan solehat dan mendapat rahmat serta pengampunan Allah swt.

Di dalam displin hukum Islam, pekerja hanya patut bekerja dalam jumlah jam yang sesuai menurut kemampuan tubuh manusia. Atas sebab itu, Baginda nabi bersabda(maksudnya) : 

Ertinya: Tidak boleh seorang hakim memberi keputusan terhadap dua orang(yang dibicarakan) sedang dia dalam keadaan marah (terhadap salah seorang atau sebab lain).( Riwayat Al-Bukhari) 

Para ulama sepakat menyatakan hadis di atas bukan hanya TERHAD kepada ‘marah’ tapi merangkumi semua emosi-emosi dan keadaan fizikal luaran yang menganggu seperti letih, mengantuk, terlalu lapar, terlalu sedih, marah dan yang sepertinya. (Al-Mabsut, Al-Sarakahsi, 16/78 ; Al-Minhaj wa nihayatul Muhtaj, 8/94)

Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam turut bersabda(maksudnya): “Sesungguhnya untuk Tuhanmu, punyai hak atasmu, dirimu (tubuhmu) juga memiliki hak atasmu, demikian pula keluargamu (isteri-anak) pun ada hak atas dirimu. Tunaikanlah pada setiap pemilik hak akan haknya itu…” (Riwayat Al-Bukhari) 

Atas sebab itu juga, HARAM ke atas doktor-doktor senior menggunakan bahasa kesat (JIKA ADA) atau tindakan seolah membuli (JIKA ADA) terhadap doktor junior dengan sengaja lantaran ia boleh menambah beban emosi dan kestabilan mental berlebihan terhadap mereka. Pengalaman ‘buruk’ doktor senior yang diperlakukan sedemikian dahulunya, tidak boleh dijadikan justifikasi tindakan salah itu. Begitu juga hujjah untuk mendidik doktor junior agar kuat mental dan lain-lain justifikasi. Ia hanya bakal menambah beban emosi yang tak diperlukan (unnecessary burden) selain bebanan kerja yang lain. Wujudkanlah suasana dan hubungan baik antara para doktor tanpa mengira senioriti kerana ia MELIBATKAN KEMASLAHATAN AWAM dan PESAKIT. 

Selain itu, pemaksaan bekerja lebih dari kemampuan fizikal ke atas doktor perubatan bukan hanya TIDAK HALAL malah MEMBAHAYAKAN diri doktor itu sendiri dan PESAKITNYA. Atas sebab itu, saya menyeru pihak berwajib berunding secara telus dan terperinci bersama para doktor yang bertugas (senior dan junior) bagi mendengar dan berbincang cadangan praktikal lagi berkesan bagi menyediakan kaedah bekerja yang terbaik. Kaedah ‘Post Call Day Off’ yang dicadangkan juga baik dikaji jika mampu dilaksanakan di negara kita, khususnya di hospital-hospital awam yang tersibuk. 

Had limitasi waktu bekerja seorang doktor bertugas juga perlu dirangka agar prestasi doktor tidak terjejas dan mudarat tidak berlaku kepada mana-mana pihak. Saya turut bersetuju agar para Doktor mesti memanfaatkan waktu rehat dengan baik kerana kerehatannya dikira berkait dengan maslahat awam juga. Justeru, suasana RUANG REHAT bagi doktor di hospital mungkin boleh diwujudkan. 

Kita sedar, situasi doktor ‘on call’ memang perlu kerana pesakit sentiasa ada dan kecemasan itu kerap wujud, namun jika doktor tidak berada pada tahap fizikal dan mental yang baik, kehadirannya merawati pesakit adalah memudaratkan dirinya dan pesakitnya sahaja. Justeru, ketidakhadirannya mungkin lebih baik berbanding kehadirannya.

Selain itu, penambahan jawatan jururawat turut boleh dipertimbangkan bagi meringankan kerja-kerja teknikal seorang doktor. Khususnya dengan hasil kutipan GST yang agak lumayan, bahagian mendesak seperti ini layak mendapat peruntukan dari kerajaan. 

Sekian

Dr. Zaharuddin Abd Rahman 
PRESIDEN MURSHID

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644