Sesungguhnya jodoh itu adalah ketetapan dan ketentuan, dan bukannya pilihan dan pencarian. Tuhan yang menetapkan dan menentukan sejak azali lagi, manusia pula memilih dan mencari.
Cuma, dalam banyak keadaan, pencarian dan kehendak itu menepati ketentuan dan ketetapan Ilahi. Namun, tidak kurang juga, pilihan dan pencarian yang jauh tersasar dari ketentuan dan ketetapan Maha Pencipta.
Saya tertarik dengan kisah cinta pesakit buah pinggang, iaitu Mat Yunus Ayub, 41 tahun dan pasangannya Siti Sarah Mohd Rodzi, 34 tahun. Kisah ini saya petik daripada akhbar Harian Metro yang bertarikh 30. Julai. 2015.
Kedua-dua mereka tidak pernah menyangka akan bertemu jodoh di pusat dialisis. Apatah lagi, dalam keadaan mereka sudah tawar hati dan berhenti berharap untuk berumahtangga gara-gara penyakit yang dialami. Inilah jodoh, yang kadang-kadang memam terbina melalui 'sentuhan' di luar duga.
Saya ingin bercerita pula tentang impian perkahwinan yang gagal dibentuk, meskipun telah lama dirancang. Sungguh di luar duga dan sungguh tidak disangka.
Tunang Maut Empat Jam Sebelum Akad Nikah. Kisah ini pernah dipaparkan di dalam akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 12.Mac.2013.
Berat mata memandang, namun berat lagi bahu yang memikul. Bayangkan, empat jam sahaja lagi untuk diijab Kabul, namun maut datang menjemput. Tunangnya meninggal kerana kemalangan jalan raya.
Moga gadis tersebut sabar dan tabah menjalani kehidupan sesudah peristiwa tersebut. Moga Allah S.W.T menemukannya dengan penganti yang mampu membahagikannya dunia dan akhirat.
JODOH! inilah hakikatnya jodoh. Walau digenggam kuat, andai ia bukan milik kita, ia akan terlepas jua. Walau ditolak ke tepi, andai ia untuk kita, ia akan datang jua. Itulah namanya JODOH.