Tips mengelakkan mengantuk semasa memandu.
Gambar di atas adalah gambar kereta saya yang terbabas sewaktu pulang bercuti hari raya Aidilfitri. Peristiwa berlaku pada tahun 2010 dan lokasi kejadiannya ialah di Lenggong Perak, ketika saya dalam perjalanan dari Ipoh ,Perak menuju ke kampung halaman saya di Bachok,Kelantan. Mengantuk dan seterusnya terlelap, itulah puncanya.
Walaupun, sekarang ini, saya bertugas di Kelantan, namun saya terpaksa berulang alik dengan jarak perjalanan 100KM sehala dan 200KM pergi dan balik. Saya menetap di Bachok dan bertugas di Jeli, tentu sahaja seringkali diserang oleh rasa mengantuk ketika dalam perjalanan.
Jadi untuk entry ini, saya ingin berkongsi tips untuk menggelakkan rasa mengantuk ketika memandu. Tips atau panduan tersebut adalah berdasarkan pembacaan saya di beberapa akhbar dan majalah, dan juga pengalaman saya sendiri.
Mula-mula sekali kita kenal dan mengerti. Tak kenal maka tak cinta. Memang kita perlu mencintai rasa mengantuk sebab terdapat segelintir manusia termasuk rakan saya yang langsung tidak boleh melelapkan mata untuk tempoh yang agak lama. Mereka mengalami masalah gangguan tidur. Jadi bersyukurlah sebab kita dianugerahkan rasa mengantuk. Cuma yang penting biarlah rasa mengantuk itu adalah rasa mengantuk yang bertempat. Tapi, seboleh-bolehnya biarlah rasa mengantuk itu datang pada situasi dan lokasi yang tepat dan betul , antaranya ketika kita ingin tidur.
Jadi fokuslah sedaya yang boleh dan sekudrat yang mampu semasa memadu. Untuk mengusir rasa mengantuk dan seterusnya fokus ketika memandu kita perlulah mengetahui atau mengenali tanda-tanda rasa mengantuk.
Untuk entry ini, saya ingin berkongsi tips menggelakkan rasa mengantuk ketika memandu. Ia adalah berdasarkan pembacaan saya di beberapa akhbar dan majalah, dan juga pengalaman saya sendiri. Tanda-tanda rasa mengantuk. Sekiranya anda mengalami tanda-tanda ini, kemungkinan anda akan mudah terdedah kepada kemalangan.
Jadi, pastikan anda mengambil langkah-langkah yang wajar apabila anda merasai tanda-tanda di berikut, iaitu.
1. Pedih mata atau berat mata
2. Berangan-angan
3. Keletihan seluruh badan
4. Penukaran gear lemah
5. Bertambah kelajuan atau berkurang kelajuan
6. Telinga berdesing atau berdengung.
Berikut adalah tips menggelakkan mengantuk ketika memandu.
- Rancang perjalanan anda. Yakinlah ia adalah usaha yang bijak dan berharga.
- Mulakan perjalanan jauh pada waktu pagi, selepas anda mendapat tidur yang secukupnya.
- Pastikan anda berada dalam keadaan cergas dan bertenaga.
- Jangan minum minuman keras atau mengambil ubat yang mengakibatkan rasa mengantuk sebelum atau sewaktu dalam perjalanan.
- Mulakan perjalanan anda dalam suasana yang ceria.
- Jangan memandu melebihi dua jam tanpa henti. Seeloknya tukar pemandu setiap dua jam walaupun anda tidak rasa mengantuk.
- Langkah terbaik andainya rasa mengantuk sukar untuk diusir ialah tidur walau untuk seketika. Sebaik-baiknya tidurlah di tempat-tempat yang selamat seperti di masjid atau surau, namun jika terpaksa tidurlah walaupun di dalam kenderaan anda. Namun pastikan anda tidur di tempat yang selamat supaya tidak menjadi mangsa jenayah.
Semoga tips ini memberi manfaat kepada pembaca. Kita memandu dalam keadaan yang berhemah dan sihat serta segar bugar dan selebihnya kita serahkan kepada Allah. Moga-moga perjalanan kita semua diberkati-Nya.