Walaupun saya orang Kelantan, namun inilah kali pertama saya menjejak kaki dan menjamu selera di Kopitiam Kita, Kota Bharu. Usai menghantar ibu,abang dan anak saudara saya ke Airport Pengkalan Chepa/Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, saya meninjau-ninjau lokasi untuk bersarapan.
Pada mulanya, saya ingin bersarapan dengan nasi berlauk gulai serati, namun tiba-tiba terlintas di fikiran untuk mencuba roti titab, lagipun isteri saya tidak makan serati. Jadi ke manakah lagi jika ingin menikmati roti titab jika tidak ke Kopitiam Kita.
![]() |
Lokasi Kopitiam Kita ialah sekitar pusat bandar Kota Bharu sahaja, namun ia agak terselindung.Tidak mengapa, berbekalkan teknologi hari ini, usaha menjejak mana-mana lokasi menjadi sangat mudah.
Saya secara peribadinya lebih selesa menggunakan aplikasi waze untuk menjejak mana-mana lokasi yang belum pernah saya jejaki, termasuklah untuk mencari lokasi Kopitiam Kita.
Saya difahamkan ia di buka pada setiap hari kecuali bulan puasa dan hari raya. Ia beroperasi seawal jam 7.00 pagi sehingga 1.30 tengahari sahaja. Mohon pembetulan dan pemurnian andainya saya tersilap info.
![]() |
Antara pengunjung yang sedang menjmau selera di Kopitiam Kita |
![]() |
Antara gambar selebriti dan orang kenamaan yang pernah menjamu selera di Kopitiam Kita |
Lebih kurang pukul 8.30 pagi saya sampai ke Kopitiam Kita. Alhamdulillah dengan menggunakan Waze, kerja mencari menjadi mudah walaupun kopitiam tersebut tersorok dan terlindung. Namun yang pasti, sekitar pukul 8.30 pagi, pengunjung sudah mula memenuhi Kopitiam Kita, malah tempat parking juga hampir penuh. .
![]() |
Ini saya punya bil. Roti Titab dua , nescafe tarik satu dan teh o ais limau satu |
Menu Sarapan di Kopitiam Kita
Sebenarnya terdapat beberapa menu untuk bersarapan pagi Kopitiam kita. Antaranya ialah nasi berlauk Air Dingin. Namun, menu popular dan menjadi kegemaran para pengunjung ialah Roti Titab. Jadi, jika anda berkunjung ke sini, mencuba Roti Titab adalah satu kemestian.
Apakah keistimewaan roti titab. Sebenarnya agak sukar untuk mengulas tentang hal ini. Sebabnya soal selera dan citarasa sememangnya berbeza dan tidak sama.
Sejujurnya saya juga agak kesal dengan sikap sesetengah blogger yang bersikap zalim dan kejam ketika menulis tentang restoran atau kedai makan. Mereka menyerang menu dan restoran tersebut, dan seakan-akan ingin menyeru orang ramai yang membaca blognya agar menjauhi restoran tersebut.
Sebenarnya, mungkin menu tertentu itu sedap dan istimewa pada selera kita, namun tidak kepada orang lain. Sebagai contoh,pernah upload gambar sup belut di facebook. Namun, terdapat segelintir sahabat facebook yang tidak menggemari belut lalu mereka membuat ulasan/komen yang macam-macam. Macam ularlah dan macam-macam lagi. Semuanya berpunca kerana belut itu tidak menepati seleranya.
Kembali kepada tajuk, secara peribadi, roti titab sememangnya sedap dan istimewa serta menepati selera saya. Kaya yang digunakan juga tidak terlampau manis dan ditambah pula dengan telur separuh masaknya yang memukau selera. Saya difahamkan kaya yang digunakan untuk ini dibuat khas untuk roti titab. Malah, saya difahamkan juga Roti Titab ini adalah hasil cetusan resepi pemiliknya sendiri.
Disebabkan ia terkenal di Kota Bharu, maka tidak menghairankanlah apabila Kopitiam Kita turut dikunjungi oleh beberapa selebriti terkenal negara, antaranya ialah Datuk Siti Nurhaliza dan orang-orang kenamaan. Kebanyakan foto-foto kunjungan mereka terpampang di barisan layan diri sebagai tatapan pengunjung pernah bertandang ke sini.
Cukup di sini saya bercerita perihal Roti Titab dan Kopitiam Kita. Jadi kepada sesiapa yang belum berkunjung ke sana,atau andainya anda berkunjung ke Kelantan, eloklah meluangkan sedikit masa untuk menikmati roti titab di Kopitiam Kita.
Alamat Kopitiam Kita : 4357-A, Taman Desa Jaya Jalan Pengkalan Chepa, 15400 Kota Bharu, Kelantan. Telefon:+60 19-981 0888