Quantcast
Channel: shameel iskandar
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

Perkara yang perlu dielakkan ketika menganjur majlis rumah terbuka Aidilfitri

$
0
0

Selain kepelbagaian juadah dan amalan kunjung mengunjung, syawal juga agak sinonim dengan penganjuran Majlis rumah terbuka. Sebenarnya mengadakan majlis rumah terbuka ini merupakan salah satu bentuk kesyukuran pihak penganjur dengan memberi makan kepada para jemputan. 

Majlis rumah terbuka akan mendapat pahala dan diberkati Allah jikalau ia menepati piawaian agama. Di sini saya ingin berkongsi beberapa perkara yang perlu dielakkan ketika menganjur majlis rumah terbuka. Ini bagi memastikan majlis tersebut patuh syariah dan mengundang keberkatan daripada Allah. Entry ini berdasarkan artikel/tulisan Ustaz Zainudin Hashim yang disiarkan di dalam akhbar Harakah bertarikh 30 September- 2 oktober 2011(2-4 Zulkaedah 1432), dengan sedikit pengubahsuaian. 


Perkara yang perlu dielakkan ketika menganjur majlis rumah terbuka. 

1. Terdapat rumah terbuka yang hanya menjemput rakan-rakan sepejabat atau sanak saudara semata-mata. Manakala jiran tetangga pula diketepikan. Jiran tetangga sepatutnya diundang, sama ada mereka ingin datang atau sebaliknya, itu terpulang kepada mereka. 

2. Penganjuran rumah terbuka yang tidak mengasingkan tempat mengambil makanan antara tetamu lelaki dan perempuan. Cadangan terbaik ialah andainya tetamu perempuan mengambil makanan di dalam rumah, tetamu lelaki pula makanannya disediakan di luar rumah. Atau boleh juga dengan mendahulukan tetamu perempuan untuk mengambil makanan dan kemudiannya disusuli tetamu lelaki. 

3. Andainya rumah terbuka itu berhampiran masjid, maka tuan rumah dan para tetamu khususnya lelaki seeloknya menunaikan solat berjemaah di masjid tersebut apabila masuk waktu solat. Penganjur tidak seharusnya leka melayan tetamu dan para tetamu tidak seharusnya leka menjamu selera hingga tidak mempedulikan azan yang berkumandang di masjid atau surau yang berhampiran. 

4. Tidak menutup aurat dengan sempurna. Pihak penganjur perlulah memastikan ahli keluarganya , terutamanya isteri dan anak perempuan, malah pembantu rumah jika ada telah berada dalam keadaan menutup aurat dengan sempurna sebelum menerima kunjungan tetamu. Pakaian yang ketat dan nipis atau yang menampakkan bentuk tubuh perlulah dijauhi. Ini kerana tubuh mereka akan menjadi tatapan dan santapan mata para tetamu yang akan berkunjung. 

5. Jika mampu, penganjur majlis rumah terbuka perlulah menjadikan majlis tersebut sebagai medan dakwah untuk menyeru tetamu ke jalan Tuhan. Tazkirah ringkas atau apa jua pengisian agama boleh dilakukan dalam tempoh tersebut. Tidak perlu memakan masa yang lama, nanti tetamu menjadi bosan dan jemu. Biarlah hanya beberapa minit Cuma, sebab yang penting ialah mesejnya mampu meresap ke dalam jiwa. 

Mudah-mudahan perkongsian ini mampu dimanfaatkan oleh semua. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644