Jika ingin mengemis like dan menagih komen serta memungut jumlah perkongsian/share sekalipun biarlah berpada-pada. Fahamilah had dan batasnya.
Jangan hanya kerana ingin popular di Facebook, agama pula diperdagangkan. Kenyataan/statement yang digunakan oleh mereka ini amat melampau. Ia bernada ugutan dan persis budaya kafir mengkafir.
Kita tertanya-tanya adakah orang-orang yang tidak like pada foto yang dipostkan itu dikategorikan sebagai golongan yang tidak beriman atau rosak akidah. Ini kerana kepercayaan kepada hari kiamat termasuk dalam Rukun Iman.
Kita juga tertanya-tanya adakah orang-orang yang tidak komen Aamiin pada foto yang dipostkan itu dikategorikan sebagai golongan yang tidak beriman dengan Qadak dan Qadar.
Inilah taktik halus para pengemis populariti di Facebook. Mereka sebenarnya sengaja berbuat sebegini untuk mempopularkan akaun Facebooknya. Sebenarnya hanya sekitar10% hingga 20%(terkini rasanya sekitar 5% sahaja) daripada jumlah friends dan followers(F&F) kita yang nampak posting kita di facebook.
Namun, apabila ada orang yang share dan komen, maka posting tersebut akan dilihat oleh banyak orang. Jadi semakin banyak jumlah share dan komen, maka semakin melebar dan meluaslah posting tersebut di facebook.
Masalahnya, amatlah tidak wajar jika agama dipertaruhkan untuk mengemis jumlah komen, share dan like dan meraih populariti.
Kaedah sebegini telah lama digunapakai oleh orang-orang yang terlibat dalam pengiklanan sesuatu produk di facebook. Mereka tidak pernah nyatakan harga pada iklan produk yang dipaparkan.
Bila pengguna komen PM, iklan tersebut dan sekali gus akaun Facebooknya akan semakin terkenal dan popular sebab ia semakin mesra dengan robot Facebook. Bezanya, mereka tidak pernah pula memperdagangkan agama demi meraih keuntungan.