Quantcast
Channel: shameel iskandar
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

PANDUAN MEMILIH PEMIMPIN

$
0
0

Sebelum memulakan bicara, ingin saya tegaskan, saya bukanlah blogger politik. Saya menulis sekadar untuk merakyatkan pandangan saya. Dan lebih penting dari itu ialah untuk melebarkan wilayah persahabatan dan memperluaskan empayar persaudaraan. Bersahabat dan bersaudara sesama insan, tapi kerana TUHAN. Atas dasar yang sama, saya memaparkan pandangan dari seorang tokoh agama yang berada di luar lingkungan parti. Maksud saya, beliau bukannya PAS dan tidak juga UMNO. Jadi sila tonton klip video di bawah dengan cermat dan teliti.

 Intipati penjelasan Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam klip video di atas ialah:

  • Imam Bukhari menyebut kata-kata Umar al-Khattab “ Hendaklah kamu faqih mempelajari agama, memahami hukum hakam, mempelajari ilmu sebelum kamu dilantik menjadi pemerintah.” 
  • Orang jahil tidak boleh menjadi pemerintah atau pemimpin.
  • Sebagai umat islam, kita hendaklah bijak memilih pemimpin. 
  • Barang siapa yang selalu menghadirkan diri dalam pengajian di masjid dan mendenagar pengajian yang benar serta mendekatkan diri kepada Allah , maka dia layak untuk kita pilih sebagai pemimpin. Ini kerana dia telah menjadikan dirinya sebagai seorang yang memahami agama. 
  • Seseorang pemimpin mestilah memahami agama, memahami syariat Allah dan mesti memahami hukum hakam syarak dan tidak sesekali terlibat menghancurkan majlis agama. 
  •  Orang yang layak dipilih sebagai pemimpin tidak semestinya seorang ulama, atau ada PhD (dalam bidang agama) atau berkelulusan agama, tapi yang penting, dia mestilah faham agama dan zahir pada dirinya ciri-ciri kesolehahan. Penampilan dirinya pula membuktikan dirinya sebagai orang-orang yang tunduk dan rukuk kepada Allah. 
  • Begitu juga dengan pakaiannya, pakaian anak dan isterinya hendaklah menunjukkan dia faham hukum hakam agama. 
  • Umat islam perlu menggunakan akal dan iman dalam menentukan kepimpinan.

  
Perkataan yang saya bold itu akan saya lebarluaskan perinciannya. 

:Barang siapa yang selalu menghadirkan diri dalam pengajian di masjid dan mendengar pengajian yang benar serta mendekatkan diri kepada Allah , maka dia layak untuk kita pilih sebagai pemimpin. Ini kerana dia telah menjadikan dirinya sebagai seorang yang memahami agama: 

Ini selaras dan selari dengan sabda Junjungan Mulia, Nabi Muhammad S.A.W “Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama.”(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Kefahaman dalam agama, inilah formula dari Allah kepada hamba-Nya yang inginkan kebaikan dalam hidup. Hanya formula ini sahaja yang dapat memanusiakan manusia. Formula ini jugalah yang dapat mengembalikan jati diri kepimpinan kepada seseorang pemimpin. Tak kiralah pemimpin keluarga, negeri atau pemimpin negara. 

Oleh itu, carilah peluang dan intailah kesempatan untuk hadir dalam majlis-majlis ilmu. Ilmu agama sangatlah penting kerana agamalah yang menjadi panduan hidup kita semua. 

:Seseorang pemimpin mestilah memahami agama, memahami syariat Allah dan mesti memahami hukum hakam syarak dan tidak sesekali terlibat menghancurkan majlis agama: 

Saya ingin lebarluaskan perbincangan mengenai aktiviti menghancurkan majlis agama. Sebenarnya, perbuatan menghodohkan wajah islam adalah lebih kejam, keji dan jijik berbanding menghancurkan majlis agama. Siapakah yang bertanggungjawab menghodohkan wajah islam. Antaranya ialah media arus perdana. 

Jika akhbar arus perdana menjadi jahat dan kejam. Maka sangatlah jahat dan amatlah kejam orang-orang yang menguasai media tersebut. Merekalah yang menghodohkan wajah islam. Akibatnya agama islam kelihatan hodoh dan bodoh. Media arus perdana juga telah  menyebabkan orang-orang bukan takut untuk menghampiri dan mengenali islam. 

Imbas kembali kegilaan media arus perdana pada tahun 2004, atau lebih tepat lagi ketika menjelang pilihanraya umum ke-11. Tika itu, RTM berulang-ulangkali menyiarkan klip video tentera Taliban menembak mati seorang perempuan Afganistan. 

Tiap-tiap malam video klip ini disiarkan dengan matlamat agar rakyat Malaysia berhati-hati dan tidak memilih golongan dan gerakan agama sebagai pemimpin dan peneraju kerajaan. Amat menghairankan , kenapalah Menteri Penerangan pada waktu itu begitu banggang hingga sanggup mengarahkan RTM menyiarkan video klip yang diragui kebenarannya. Benarkah Taliban sekejam itu? Sahih ke video klip itu atau ia direka-reka oleh musuh-musuh islam seperti Amerika Syarikat dan sekutunya. Realiti menunjukkan Taliban tidak sekejam yang dimomokkan oleh media barat dan media arus perdana Malaysia. 

Lihat sahaja nasib Yvonne Ridley, seorang wartawan Sunday Express , yang ditangkap oleh tentera Taliban. Beliau dilayan dengan baik oleh pihak Taliban. Bukan beliau sahaja, malah tiga tawanan lain yang beragama Krsitian yang ditempatkan bersamanya turut dibenarkan menyanyi dan bermain gitar. Mereka dibenarkan berbuat demikian oleh Taliban. Dan tidak berapa lama setelah bebas dari tahanan Taliban, Yvonne Ridley telah bertindak memeluk agama islam. 

Beliau menyifatkan Talibanlah yang memperkenalkannya dengan islam. Jadi kepada bekas Menteri Penerangan tersebut. Tolonglah bertaubat. 

:Orang yang layak dipilih sebagai pemimpin tidak semestinya seorang ulama, atau ada PhD (dalam bidang agama) atau berkelulusan agama, tapi yang penting, dia mestilah faham agama dan zahir pada dirinya ciri-ciri kesolehahan. Penampilan dirinya pula membuktikan dirinya sebagai orang-orang yang tunduk dan rukuk kepada Allah: 

Ada perbezaan yang ketara antara orang agama dengan orang yang beragama. Orang agama, ialah golongan yang berkelulusan dalam bidang agama. Ada dalam kalangan mereka yang digelar ustaz dan ada juga yang digelar Kiai dan Tok Guru.

Manakala orang beragama pula ialah golongan yang tidak semestinya berkelulusan dalam bidang agama. Dia mungkin seorang saintis, namun dia sentiasa sedar akan kewujudan Tuhan yang sentiasa memerhatikan. 

Dia mungkin seorang peguam, namun dia sentiasa ingat akan dosa dan pahala. Mungkin juga dia seorang arkitek, namun dia faham hakikat syurga dan neraka. Atau mungkin juga seorang doktor, namun sentiasa sedar betapa denyut nadi dan degup jantung boleh terhenti bila-bila masa sahaja. 

Dengan kata lain, mereka mungkin sesiapa sahaja, termasuk buruh, nelayan dan petani, tapi mereka terikat dengan agama. Mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menambahkan kefahaman dalam agama. Mereka tidak pernah lalai dan leka dari tuntuan agama dan sentiasa bercita-cita ingin memartabatkan agama. 

Antara contoh orang beragama ialah Almarhum Necmettin Erbakan, seorang jurutera yang pernah memimpin parti Refah di Turki dan Almarhum Dr Abdul Aziz al-Rantisi, seorang doktor gigi yang pernah memimpin pergerakan islam HAMAS. 

:umat islam perlu menggunakan akal dan iman dalam menentukan kepimpinan: 

Berpaksikan waras dan wajar yang dipandu oleh ilmu dan iman, umat islam mestilah berhati-hati dalam membuat pengundian. Jadilah pengundi yang bijak. Pelbagaikan bahan bacaan dan lihatlah sumber yang pelbagai untuk memperluaskan horizon pemikiran, dan seterusnya membolehkan kita ‘berijtihad’ untuk memilih pemimpin.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644