Ketika entry ini ditulis Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang masih lagi dihujani kritikan dan kecaman. Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunai(KUIS) dikritik hebat lantaran kunjungannya ke Iran menghadiri persidangan Taqrib Sunni-Syiah.
Walaubagaimanapun entry ini tidak akan menyentuh isu tersebut. Kerana entry ini ingin memperkatakan persoalan perkahwinan dengan wanita Ahli Kitab. Isu tersebut diulas dan diperjelaskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam akhbar Harakah bertarikh 20 Rabiulakhir – 4 Jamadilawal 1423/1-15 Julai 2002. Dalam Ruangan Tafsir Al-Quran, Tuan Guru Haji Hadi telah mentafsir Surah Al-Maidah ayat ke lima, yang menyentuh persoalan ahli kitab.
Dalam entry ini saya paparkan sahaja tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk kita manfaatkan bersama. Setidak-tidaknya sebagai ilmu dan paling penting sebagai langkah untuk memantapkan lagi kefahaman dalam beragama. Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, lelaki -lelaki islam dihalalkan mengahwini perempuan-perempuan Yahudi dan Kristian yang bermaruah. Perkahwinan tersebut bersandarkan nas Al-Quran.
Katanya lagi,usah rasa pelik atau kehairan kerana perkahwinan tersebut dibenarkan dengan nas Al-Quran dan Ulama tidak boleh berijtihad lgi dengan nas Al-Quran sedemikian. Rasa hairan atau aneh berlaku kerana selama ini kebanyakkan umat islam( di Malaysia- admin) tidak mempelajari persoalan ini, iaitu hukum hakam perkahwinan dengan wanita ahli kitab.
Menurutnya lagi, selama ini mereka(umat islam) hanya belajar dalam bab sembahyang sahaja( lebih fokus kepada perkara fardhu ain- Admin), manakala bab perkahwinan dengan wanita Kristian dan Yahudi mereka abaikan. Lagipun ramai dalam kalangan orang islam yang tidak mengerti makna Al-Quran, jadi sudah tentu ada yang tidak mengetahui adanya nas yang membolehkan orang islam berkahwin dengan perempuan Yahudi dan Krisitian yang bermaruah.
Apabila ada nas yang jelas maka ulama tidak boleh lagi berselisih pendapat dalam masalah ini. Cuma yang diperbahaskan secara panjang lebar ialah dari segi keturunan perempuan Yahudi dan Kristian berkenaan.
Perbahasan tentang keturunan perempuan Yahudi dan Krisitian tersebut. Akan saya ulas di dalam Info Tambahan nanti (Admin)
Tuan Guru Haji Hadi menjelaskan, yang dimaksudkan sebagai perempuan ahli kitab yang bermaruah ialah perempuan ahli kitab yang baik dari kalangan Yahudi dan Nasrani.
Menurut Tuan Guru Haji Hadi lagi, sejarah mencatatkan terdapat dalam kalangan sahabat r.a yang berkahwin dengan perempuan-perempuan ahli kitab kecuali Huzaifah Ibnul Yaman yang merupakan pegawai tinggi atau panglima tentera dalam kerajaan islam di zaman Sayyidina Umar Ibn Khattab r.a.
Apabila beliau mahu berkahwin Umar melarangnya. Kata Sayidina Umar Ibn Khattab r.a. “Kamu ,aku tidak benarkan berkahwin dengan mereka kerana kamu bukan sebarangan orang”
Huzaifah berkata “Ini ada dalam ayat Al-Quran”, namun Kata Sayidina Umar Ibn Khattab r.a tetap bertegas melarang Huzaifah berkahwin dengan mereka kerana ia termasuk di dalam Siasah Syar’iyyah dan beliau(Huzaifah) merupakan seorang panglima tentera. Mungkin perempuan itu seorang pengintip dan seumpamanya. Justeru itu, Sayidina Umar melarangya kerana mahu menjaga keselamatan negara islam dan menjaga keselamatan umat islam.
Walaubagaimanapun, Tuan Guru Haji Hadi menegaskan agar mengutamakan atau mendahulukan wanita-wanita yang beriman, kerana mereka lebih baik daripada wanita-wanita ahli kitab.
Menurutnya lagi kebanyakkan sahabat mengahwini wanita ahli kitab ketika mereka berada di negara kufur yang tidak ada orang islam. Jadi mereka mengahwini wanita ahli kitab dengan tujuan untuk memelihara diri daripada melakukan penzinaan.
Demikianlah penerangan dan penjelasan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengenai persoalan perkahwinan dengan wanita-wanita ahli kitab. Semoga ia memberikan manfaat kepada kita, iaitu manfaat ilmu dan manfaat kefahaman dalam beragama.
INFO TAMBAHAN:
Walaupun Jumhur Ulama menganggap penganut-penganut agama Yahudi dan Kristian sebagai ahli kitab, meskipun mereka tidak lagi beriman dengan kitab yang asal serta melakukan penyekutuan terhadap Allah, namun adakah semua penganut agama tersebut layak ditakrifkan sebagai ahli kitab?
Dalam persoalan ini timbul pula perbahasan yang panjang lebar tentang keturunan perempuan Yahudi dan Krisitian tersebut. Sekurang-kurangya terdapat tiga pandangan ulama tentang hal ini. Meskipun berbeza, namun mereka menyetujui bahawasanya ahli kitab tetap wujud meskipun mereka tidak lagi berpegang dengan kitab asal yang diturunkan kepada Nabi Musa AS dan Isa AS.
Pendapat dan pandangan tersebut ialah :
- Pendapat pertama, terdapat ulama yang mensyaratkan hanya penganut Yahudi dan Kristian dari keturunan Nabi Yaakob A.S/ Bani Israil sahaja yang boleh dianggap sebagai ahli kitab.
- Pendapat kedua pula tidak mensyaratkan dari keturunan Nabi Yaakob A.S/Bani Israil sahaja. Wanita Yahudi yang halal dikahwini,disyaratkan keturunannya(nenek moyangnya) beragama Yahudi sebelum Nabi Isa AS diutuskan. Manakala Wanita Kristian yang dihalalkan untuk dikahwini pula, disyaratkan keturunannya (nenek moyangnya)memeluk agama tersebut sebelum Nabi Muhammad SAW diutuskan.
- Pendapat ketiga, sesiapa sahaja yang beragama ahli kitab(Yahudi dan Kristian)maka mereka adalah ahli kitab,walaupun bapa dan datuknya tidak beragama yahudi atau krsitian. Meskipun keturunanya memeluk agama tersebut sesudah agama tersebut dibatalkan. Apa yang pasti, pendapat ini agak longgar dan jika mengikut pandangan ini, semua penganut Yahudi dan Kristian dari pelbagai bangsa adalah ahli kitab dan wanitanya halal dikahwini.
Lebih lanjut mengenai persoalan hukum mengahwini wanita ahli kitab, disarankan membaca entry saya yang lepas, lihat --->SINI
Mengenai ahli kitab, buku berjudul Ahli Kitab Menurut Ibn Hazm dan Al-Shahrastani juga amat menarik untuk dibaca dan dihayati. Ia ditulis Mohd Faizal Abdul Khir dan Khadijah Mohd Khambali @Hambali. Dr Mohd Faizal Abdul Khir merupakan seorang pesnyarah di Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah. Buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tajuk Lain Yang Berkaitan: Hukum Mengahwini Wanita Ahli Kitab