Semalam saya menonton sebuah filem Tamil bertajuk Saahasam. Saya tertarik dengan satu dialog yang berbunyi "jangan fikirkan logik tapi fikirkan magik. Di India magik lebih dipercayai berbanding logik sebab itu sami lebih dipercayai daripada saintis."
Apa kaitan filem Tamil tersebut dengan entry saya kali ini. Adakah saya ingin review filem tersebut. Tidak sama sekali. Saya sebenarnya ingin mengaitkan dialog tersebut dengan isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita, iaitu mengenai magik dangolongan agamawan. Kalau dalam filem Tamil tersebut, tentang sami dan magik, manakala di negara kita pula tentang Ustaz dan magik atau ilmu luar biasa.
Suatu ketika dahulu, seringkali kedengaran dakwaan kononnya pemilik kedai makan,warung dan restoran tertentu membela mahkluk halus sebagai pelaris.
Diceritakan ustaz-ustaz tertentu yang mempunyai ilmu luar biasa terlihat kelibat makhluk halus di restoran/warung/kedai makan tertentu.
Zaman berubah namun mentaliti segelintir orang-orang kita tetap tidak berubah malah semakin menjadi-jadi dengan bantuan media sosial.
Sekitar seminggu yang lepas, pengusaha Mak Wan Mee Sup Champa mengalami kerugian apabila Sang Ustaz yang terlihat kelibat makhluk halus sedang meniarap di atas meja di kedai makannya. Berita tersebut tersebar dengan begitu pantas di media sosial terutamanya Facebook.
Tidak cukup dengan itu, selain didakwa membela makhluk halus sebagai pelaris sebagai mana yang dibongkar menerusi ilmu magik Sang Ustaz, penguasaha restoran tersebut juga didakwa menggunakan babi, kura-kura dan aneka juadah haram dalam masakannya. Perniagaannya terjejas gara-gara ilmu magik milik Sang Ustaz yang dianggap sebagai wahyu dan sabda oleh sesetengah orang Melayu.
Itu hanyalah sebahagian kisah, Ustaz-ustaz sakti yang mempunyai ilmu magik.
Sebenarnya masih ramai orang-orang Melayu yang terpengaruh dengan kisah Ustaz-ustaz yang memiliki ilmu luar biasa. Luar biasa hingga mampu melihat jin dan syaitan yang sedang kencing , muntah dan berak di dalam makanan di restoran/kedai makan/warung. Akibatnya restoran/warung tersebut diboikot, dan perniagaan mereka terjejas teruk.
Beberapa bulan yang lepas, saya diingatkan agar tidak makan di restoran Selera Tepi Sungai Tanah Merah, kononnya ada seorang Ustaz yang menjadi ilmu perubatan Islam ternampak hantu dan jin muntah dalam makanan yang dihidangkan di restoran tersebut. Pernah dahulu, pengusaha Sate terkenal di Kajang dituduh membela hantu raya, kononnya utaz tertentu ternampak hantu raya sedang kencing di atas sate tersebut.
Tapi amat hairan dan sangat pelik. Apa tidaknya, sebab di rangkaian KFC, Macdonald, Pizza Hut dan yang sewaktu dengannya tidak pula Sang Ustaz ini terampak kelibat hantu,iblis, dan jin. Oleh itu marilah kita berprasangka baik, mungkin di KFC dan Macdonald, pengusaha telah berdamping dengan malaikat dan bukannya hantu raya atau jin. Di situ malaikat telah merenjis-renjis hidangan ddengan haruman kasturi.
Ingat lagi ketika kes kehilangan MH370 tersebar. Punyalah ramai pakar-pakar berkaitan penerbangan mengeluarkan pandangan, tiba-tiba muncul seorang ustaz dengan mimpinya. Habis, seantero rakyat Malaysia mula mempercayai mimpi tersebut dan berjemaah menyebarkan mimpi ustaz tersebut. Tiba-tiba Ustaz Mimpi menjadi popular mengalahkan penyanyi yang baru mencipta nama ketika itu, Encik Mimpi.
Benarlah apa yang diperkatakan dalam filem Tamil, Saahasam. Iaitu logik sering kali ditewaskan oleh magik, sebab itu di India orang lebih mempercayai Sami berbanding Saintis. Di Malaysia pun lebih kurang sama keadaannya.