Pengguna stevia tertipu terguna stevia palsu tanpa sedar.
Terkejut! Saya benar-benar terkejut apabila terbaca berita mengenai Stevia palsu dalam Berita Harian hari ini. Saya terkejut kerana saya adalah antara ribuan pengguna produk Stevia di Malaysia.
Pada muka depan akhbar Berita Harian bertarikh 27.03.2017, terpapar tajuk, Awas Stevia Palsu.
Ia memaparkan hasil ujian makmal yang dilakukan oleh dua buah universiti awam tempatan, iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Kajian yang dilakukan terhadap 10 jenama produk Stevia yang dijual di pasaran Malaysia, dan hasil kajian tersebut mendapati produk tersebut langsung tidak mengandungi ekstrak Stevia, sebaliknya hanyalah kombinasi bahan kimia bahaya dan memudaratkan kesihatan.
Antara bahan kimia yang ditemui ialah Pyridazione, Piperazine dan Cycloproparecarboxamide.
Lebih memeranjatkan, kandungan lima daripada 10 sampel tersebut juga didapati sama walaupun dijual dengan jenama yang berbeza.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPi) UTHM, Prof Madya Dr Mohd Fadzelly Abu Bakar, berkata pihaknya menggunakan dua instrumen berteknologi tinggi, iaitu High Perfomance Liquid Chromatoraphy (HPLC) dan Gas Chromatoraphy-Mass Spectdometry (GCMS) untuk melakukan kajian tersebut.
Malah, proses analisis bagi mengenal pasti kandungan sebenar dalam produk cecair Stevia itu juga dilakukan berulang kali bagi mendapatkan keputusan yang tepat, berikutan aduan pengguna yang meragui produk berkenaan.
Selain itu, sampel yang sama turut dihantar ke UPM bagi menjalani proses ujian makmal dan hasilnya juga sama.
Bahaya Stevia Palsu.
Menurut Prof Madya Dr Mohd Fadzelly menegaskan produk yang mengandungi banyak bahan kimia sintetik amat berbahaya kepada tubuh kerana ia tidak boleh disingkirkan oleh organ manusia, apatah lagi jika diambil dalam jangka masa panjang. Ia akan masuk ke organ perkumuhan, termasuk buah pinggang serta hati dan lama kelamaan ia akan mengakibatkan penyakit kronik tetmasuklah kegagalan buah pinggang dan hati.
Antara tiga bahan kimia yang ditemui dalam produk yang didakwa cecair stevia ialah Pyridazione, Piperazine dan Cycloproparecarboxamide.
Pyridazione contohnya, boleh menyebabkan keradangan kulit, mata dan alahan pernafasan.
Piperazine pula boleh menyebabkan muntah, cirit birit serta kemurungan, manakala Cycloproparecarboxamide pula boleh mengakibatkan keradangan.
Selain itu, hasil kajian di UTHM juga mendapati pemanis tiruan, Aspartame yang memberikan rasa manis pada produk tersebut. Sepatutnya rasa manis dalam produk berasaskan Stevia itu berpunca daripada komponen semulajadi tumbuhan tersebut iaitu steviosid atau rebaudiosd dan bukannya bahan tiruan seperti Aspartame.
INFO TAMBAHAN.
Harap selepas ini, syarikat-syarikat yang mengeluarkan produk Stevia segera tampil untuk menjernihkan keadaan.