![]() |
sumber google. |
Dua hari lepas, saya menerima kad raya yang dikirim oleh seorang kenalan. Ia merupakan kad raya pertama yang saya terima untuk tahun ini. Seusai membacanya, saya termenung panjang. Bukan kerana catatan di dalam kad tersebut, tapi kerana nostalgia kad raya yang begitu melekat di hati. Sebenarnya masih ada beberapa keping kad raya dalam simpanan saya. Sengaja saya simpan untuk kenang-kenangan.
Dan, saya amat yakin, ramai juga antara kita yang mempunyai nostalgia kad raya. Tidak sekadar nostalgia menerima dan mengutus kad raya, tetapi lebih dari itu.
Suatu ketika dahulu, kad raya begitu popular. Beraneka warna dan pelbagai bentuk serta saiz. Terdapat kad raya yang bersifat umum dan terdapat juga yang dikhaskan untuk insan atau golongan tertentu, seperti khas untuk guru, suami, isteri,kekasih,tuning, ayah dan ibu serta macam-macam lagi. Malah, terdapat juga kad raya yang berirama(muzik),biasanya dari lagu-lagu raya yang popular.Â
Fungsi kad raya sebenarnya tidak sekadar untuk dibaca, tapi turut dijadikan perhiasan rumah ketika menjelang raya. Ia digantung pada sudut-sudut tertentu seperti tepi jendela atau pada bunga hiasan di ruang tamu.
Ketika di alam persekolahan, menerima kad raya adalah satu kebanggaan. Lebih-lebih lagi dari kenalan yang jauh dari negeri berlainan. Malah, ada beberapa orang sahabat saya yang sanggup membeli dan mengirm(pos) kad raya kepada diri sendiri semata-mata ingin meraih kebanggaan ini.Â
Tapi sayang, itu adalah cerita dahulu kala. Sekarang situasi sebegini hanyalah sebuah nostalgia. Ledakan teknologi maklumat telah mengubah semua itu hingga kad raya hampir pupus. Benar, kad raya masih ada dan budaya mengirim kad raya masih berlangsung tapi ia semakin tersisih. Mungkin satu ketika nanti ia akan pupus sebagaimana pupusnya Dinosaur . Ia tidak mustahil sebab sebelum ini telegram dan poskad telah dipinggirkan dan hanya tinggal di dalam catatan sejarah. Email mengantikan surat dan poskad, handphone mengantikan telegram dan laman sosial pula telah memainkan peranan yang amat besar dalam hidup dan kehidupan manusia.
Tentang kad raya pula, hari ini seseorang hanya perlu upload gambar(termasuklah gambar kad raya) di facebook dan tagging sahaja kepada mana-mana kenalan. Sejujurnya, kita tidak boleh menyalahkan perubahan-perubahan ini. Malah, dalam banyak-banyak keadaan, ternyata ia lebih baik untuk kita semua. Cuma, sesekali kita merindui kaedah dan pendekatan lama yang pernah akrab dengan kita seperti kad raya.Â
Jadi, kepada sesiapa yang masih menyimpan kad-kad raya dan juga poskad. Simpanlah semua itu sebab suatu masa nanti mungkin ia hanya menjadi sejarah. Mana tahu, pada masa itu anak cucu kita tidak lagi mengenali semua itu.