Korban merupakan ibadah yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. Korban bermaksud menyembelih ternakan tertentu dengan taqarrub kepada Allah SWT. Taqarrub bermaksud perbuatan atau amalan yang dilakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah qurban adalah salah satu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan kepada surah al-Kauthar ayat 2, surah al-Hajj ayat 36.
Ibadah korban dilaksanakan pada hari raya ‘Idul Adha,iaitu 10 Zulhijjah dan Hari-hari Tasyrik iaitu pada 11,12 dan 13 Zulhijjah.
HUKUM MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN.
Menurut pandangan jumhur ulama hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat (sunat muakkadah) bagi individu yang berkemampuan. Pandangan ulama mazhab Shafi‘i adalah sunat ’ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup. Menurut pandangan yang masyhur di kalangan ulama mazhab Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan qurban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.
Walaupun begitu terdapat sebahagian ulama mengatakan hukum melaksanakan ibadat adalah wajib bagi mereka yang berkemampuan. Antara dalilnya adalah sabda Nabi S.A.W
“Barang siapa memiliki kelapangan (rezeki) tetapi tidak menyembelih korban maka jangan sama sekali mendekati tempat solat kami.”(Hadis Hasan, Riwayat Ahmad, Ibnu Majah,Al-Daruquthni, Al-Hakim)."
Dalam hadis ini, Baginda S.A.W secara tegas melarang orang yang mampu berkorban daripada menghampiri tempat solat. Ini menunjukkan meninggalkan ibadah korban bererti meninggalkan kewajipan.
Sebagai langkah berhati-hati, ulama menasihatkan kaum Muslimin berusaha keluar daripada khilaf iaitu melaksanakan ibadah korban jika mampu. Lagipun ia hanya dilaksanakan setahun sekali. Amat malang, jika kita tidak pernah ragu-ragu untuk menghabiskan duit untuk perkara-perkara tertentu yang adakalanya tidak penting dan tidak perlu tetapi amat berkira-kira untuk melaksanakan ibadah korban.
Sumber:
- JAKIM
- Ustaz Fathul Bahri, Sinar Harian, Ahad 22 September 2013, m/s 47.
Tajuk Lain Yang Berkaitan: