Phoolan Devi pernah dilabelkan sebagai pengganas wanita paling kejam. Beliau telah melakukan 55 pembunuhan,68 rompakan bersenjata api dan 27 penculikan. Beliau juga terkenal dengan gelarn Bandit Queen. Walaupun beliau telah dipenjarakan selama 11 tahun,namun semua itu tidak mampu memadamkan api dendam pihak tertentu terhadapanya, akibatnya dia ditembak mati pada tahun 2001.
Siapakah Phoolan Devi yang sebenarnya. Mengapa dia mengganas hinggakan dilabel sebagai wanita paling kejam. Adakah dia seorang pejuang atau mungkinkah dia seorang pemberontak. Atau mungkinkah dia seorang pejuang yang memberontak, atau mungkin juga seorang pemberontak yang berjuang.

LATAR BELAKANG
Phoolan Devi dilahirkan sekitar tahun 1963 di Uttar Pradesh India. Beliau seorang marhaen kasta terendah dan dibesarkan di desa kecil di Sungai Yamuna. Bapanya mewarisi enam hektar tanah,namun, kerana tamak haloba, tanah itu dirampas oleh sepupunya, Maiyadin.
NASIB MALANG PHOOLAN DEVI
Ketika berusia 11 tahun, Phoolan Devi ditukarkan dengan seekor lembu untuk dikahwinkan dengan Putti Lal yang berusia 30 tahun dan telah beristeri. Selepas berkahwin beliau dipukul dan dinodai secara sadis hingga terpaksa melarikan diri ke rumah ibu bapanya. Tiba di rumah, ibunya mendesak beliau membunuh diri kerana perbuatannya itu dianggap memalukan keluarga.
Pada usia 15 tahun, Phoolan Devi dirogol oleh ketua kampong dihadapan ibu dan bapanya kerana masalah hutang. Sepupunya, Maiyadin telah membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Allahabad. Namun, sekali Phoolan Devi dianiaya kerana Maiyadin tidak membelanya sebagai mangsa rogol, sebaliknya menuduhnya sebagai pencuri. Akibatnya dia dipenjarakan selama sebulan.Di penjara nasib malang terus memburu dan mengejar Phoolan Devi, ini kerana semasa di dalam penjara beliau telah dirogol secara beramai-ramai dan bergilir-gilir.
Selepas dibebaskan, Maiyadin telah mengupah kumpulah penjenayah yang diketuai Babu Gujar untuk menculiknya. Nasibnya agak baik, kerana beliau dikahwini oleh Vickram Mallah. Siapakah Vikram Mallah? Lelaki tersebut merupakan pembantu geng Babu Gujar. Vickram Mallah menjadi terkenal setelah berjaya membunuh Thakur,pemimpin tertinggi dari kasta Brahmanical. Kejayaan tersebut membolehkan Vikram Mallah menjadi ketua baru dan dia mengambil keputusan untuk mengahwini Phoolan Devi dan menetap di kampong halamannya.
Vikram Mallah telah melayan Phoolan Devi sebagai wanita dan isteri dengan baik. Malah Phoolan Devi pernah berkata
“ Vickram adalah manusia pertama yang melayan saya seperti manusia, bukan sebagai hamba atau sekeping daging.”
Namun, kebahagiaannya tidak lama,pada tahun 1980, Vickram Mallah dibunuh oleh serpihan kumpulan Thakur,iaitu Sri dan Lala Ram sebagai membalas dendam. Dalam serangan tersebut, Phoolan Devi telah dirogol beramai-ramai. Tidak cukup dengan itu, beliau juga diseksa dan dipaksa mengambil air di sungai sambil berbogel dengan disaksikan oleh penduduk kampong. Penderaan seksual sebegini berterusan hinggalah beliau berjaya meloloskan diri.
PERJUANGAN PHOOLAN DEVI
Sebenarnya keberanian Phoolan Devi telah terserlah sejak awal lagi. Beliau pernah berkerja sebagai buruh binaan ketika menetap di kampung dan beliau juga telah membakar rumah yang siap dibina kerana pemiliknya enggan membayar upah.
Keberaniaan dan sekali gus perjuangannya semakin terserlah setelah kematian suaminya Vickram Mallah. Pada tahun 1981, ahli kumpulan penjenayah pimpinan mendiang Vickram Mallah telah memberi sokongan dan mendesaknya agar membalas dendam. Phoolan Devi telah dilantik menjadi ketua kumpulan. Sepanjang dua tahun, kumpulannya semakin berpengaruh dalam kalangan penjenayah dari kasta rendah. Phoolan Devi dan kumpulannya telah melakukan rompakan dan pembunuhan.
Pembunuhan paling menggerunkan yang dilakukan olehnya ialah dalam satu persitiwa di Behmai. Dalam kejadian itu, Phoolan Devi telah menghimpukan sekumpulan 22 orang lelaki. Kesemua mereka telah dibogelkan terlebih dahulu dan kemudiannya ditembak hingga mati di khalayak ramai. Kerana peristiwa ini, beliau menjadi terkenal di India hingga dilabelkan sebagai penjenayah wanita tunggal paling bahaya dan paling kejam di India.
Pada tahun 1983, Phoolan Devi dan kumpulannya telah menyerah diri kepada Ketua Menteri Madhya Pradesh, Arjun Singh, di Bandar Bhind. Beliau dipenjarakan di Tihar Delhi. Selepas 11 tahun beliau dibebaskan pada tahun 1994 tanpa dikenakan perbicaraan.
Dua tahun kemudian, Phoolan Devi kembali berjuang, tapi kali ini bukanlah dengan dengan mengangkat senjata dan memimpin kumpulan penjenayah, sebaliknya beliau berjuang menerusi politik. Beliau telah menggegarkan India apabila berjaya merebut kerusi Parlimen di bawah tiket Parti Samajwadi dan mewakili kawasan kasta rendah wilayah mirzapur, Uttar Pradesh. Namun, beliau gagal mempertahankan kerusianya setahun kemudian.
KEMATIAN PHOOLAN DEVI
Pada tahun 2001, Phoolan Devi telah dibunuh di Delhi oleh Sher Rana Singh. Pembunuhan ini bermotifkan dendam terhadap pembunuhan beramai-ramai di Behmai. Beliau ditembak mati di hadapan rumahnya. Namun, bahan bukti dan senjata yang digunakan ketika pembunuhannya telah hilang dari simpanan polis, lalu kes ini ditutup.
Rujukan: Sebahagian daripada entry ini adalah dengan merujuk sebuah rencana dalam akhbar Sinar Harian, Isnin, 21.Januari 2013.
INFO TAMBAHAN:
Penindasan oleh golongan kaya dan kepincangan sstem kasta serta ketidakadilan undang-undang telah mengubah hidup dan kehidupan Phoolan Devi. Manakala kekejaman dan kezaliman yang menimpanya menyebabkan beliau mengubah sifat dan sikapnya
Phoolan Devi, asalnya hanyalah wanita kampung dan seorang warga marhaen yang menumpang hidup di bumi Tuhan, namun akhir bertukar menjadi pengganas yang kejam. Phoolan Devi telah dizalimi,ditindas dan dianiaya tanpa perikemanusiaan. Dia dirogol,dirogol dan dirogol lagi berulang-ulang kali oleh semua pihak. Bayangkan ketika berusia 11 tahun, beliau ditukar dengan seekor lembu lalu bermulalah kehidupannya sebagai mangsa kerakusan nafsu. Kemudian dirogol lagi dihadapan orang tuanya gara-gara masalah hutang. Tidak cukup dengan dirogol dia dipenjarakan pula kerana pengkhianatan sepupunya dan dipenjara dia dirogol lagi bergilir-gilir dan beramai.
Ketika ada lelaki yang sudi menjadi penaung hidupnya, dia bahagia seketika, tapi itu semua hanyalah sementara, suaminya dibunuh dan dia kembali diirogol secara beramai-ramai dan bergilir. Tidak sekadar itu, dia dipaksa mengambilair dari sungai dalam keadaan berbogel dan disaksikan oleh seluruh warga kampung. Jadi, siapakah Phoolan Devi yang sebenarnya. Pejuang atau pemberontak. Atau mungkinkah dia seorang pejuang yang memberontak, atau dia hanyalah seorang pemberontak yang berjuang.
Kisah hidup dan perjuangannya pernah diadaptasikan ke layar filem Hindi. Di bawah adalah sebahagian daripada sedutan filem tersebut.