Berikut adalah jawapan daripada Dr. Mohd Al’ikhsan bin Ghazali,Felo Hadith dan Pengajian Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains danTeknologi ,UTMKL(rujuk Majalah Dian ‘Ihya As-Sunnah, Halaman 12. Bil.19).
Hukum menyebarkan hadith palsu bagi mereka yang mengetahui kepalsuannya adalah HARAM, kecuali dengan menyatakan kepalsuan hadith tersebut.
Sehubungan itu,penyebaran hadith-hadith yang semata-mata diambil dari internet, yang tidak diketahui kedudukan dan autoriti laman web tersebut mestilah dijauhi oleh umat islam.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda “Sesiapa mendustakan aku dengan sengaja,sesungguhnya dia telah menempah tempat duduknya dari api neraka.
Harus bagi mereka yang tidak tahu –menahu berkenaan dengan kedudukan hadith menyebarkan hadith yang terdapat dalam karangan para ulama yang muktabar,asalkan hadith tersebut tidak didhaifkan oleh ulama tersebut. Namun begitu, adalah lebih baik ia menyatakan rujukan hadith tersebut. Berhubung dengan hadith dhaif,sebahagian ulama memberi kelonggaran dalam periwayatan dan pengamalannya dengan syarat-syarat yang tertentu.
INFO TAMBAHAN
KESIMPULANNYA AMAT MUDAH, menyebarkan hadith palsu walau dengan apa cara/medium dan apa sahaja matlamat, termasuklah matlamat yang baik,hukumnya tetap haram dan berdosa. Diulangi! hukumnya tetap haram dan berdosa. Menyebarkan hadith palsu bererti menempah tiket untuk ke neraka.
Hari ini hadith palsu disebarkan dengan begitu meluas dengan bantuan media sosial termasuklah facebook. Ini gara-gara sikap pengguna facebook yang terlalu bermurah hati menawarkan diri untuk menjadi TUKANG SHARE. Kononnya cakna agama, padahal tindakan tersebut merupakan sebuah pengkhianatan terhadap agama. Diulangi! Perbuatan share hadith palsu di facebook adalah sebuah pengkhianatan terhadap agama. Sesetengah pengguna facebook sanggup menjadi TUKANG SHARE kerana ingin meraih pahala, padahal tindakannya itu umpama mengutip dosa.
Perbuatan Share hadith palsu di facebook tidak hanya memperlihatkan ‘KEJAHATAN’ tukang share(pemilik akaun FB) tetapi ia turut menghodohkan wajah islam yang amat sempurna.
Tolong! jangan nodai kesucian hadith dengan menghentikan perbuatan tak bermoral dan tak bermaruah ini. Tolong jangan menjadi penyebar hadith palsu termasuklah di facebook. Berhentilah menghodohkan agama, dan cukup-cukuplah diperbodohkan oleh golongan jahat yang gemar menyebarkan hadith palsu,termasuklah di facebook.
Para ulama hadith, terutamanya generasi awal islam telah bersusah payah mewakafkan hidup dan kehidupannya untuk mempelajari dan menguasai ilmu hadith. Mereka sanggup menjelajah ke seluruh pelusuk dunia islam dalam usaha menekuni ilmu-ilmu hadith. Mereka amat cermat dan teliti ketika membukukan kitab-kitab hadith, untuk memastikan kesahihan hadith yang diterima dan dibukukan.Tapi sayang, generasi islam hari ini dengan berbekalkan komputer dan facebook,bertindak menyebarkan hadith-hadith palsu dengan senang dan tenang,tanpa sedikitpun rasa malu terhadap para ulama hadith, dan tanpa sekelumitpun rasa bersalah terhadap Rasulullah S.A.W dan Allah S.W.T.
Sebagai orang awam yang tidak menguasai ilmu hadith, jika ingin berkongsi status mengenai hadith atau apa sahaja mengenai agama, eloklah merujuk kepada tokoh-tokoh agama yang diakui keilmuannya. Hari ini, sudah ramai para ulama atau tokoh agama yang memiliki akaun facebook, blog,web site dan lain-lain laman sosial. Mengapa tidak dimanfaatkan. Mengapa harus kita share status tentang agama terutamanya tentang hadith dari orang-orang yang tidak diiktiraf kelayakannya.
Lagi elok, andainya dinyatakan rujukan bagi setiap hadith yang ingin ditulis di facebook, contohnya dipetik dari Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan sebagainya. Andai itu juga kita tidak mampu, cukup sekadar menyatakan kitab-kitab atau ulama-ulama yang kita rujuk. Contohnya,hadith ini dipetik dari kitab dari Kitab Fiqh Sunnah, karya Sayyid Sabiq, atau hadith ini dipetik dari Kitab Fatwa Mua'sirah, Dr Yusof al-Qardhawi.