Bersenjatakan internet proses menyebarkan maklumat menjadi begitu mudah, dan maklumat juga
mampu meluas tanpa sempadan dan melebar tanpa sekatan. Sambil menghisap rokok, meneguk kopi atau apa sahaja aktiviti Keyboard Warrior mampu mencipta cerita dan berita serta melebarluaskannya ke seantero dunia. Yang menjadi mangsa ialah golongan mandul akal yang terus menerima apa sahaja cerita dan berita tanpa berfikir dan tanpa bertanya. Si mandul akal seakan-akan bertuhankan facebook dan WhatsApp hingga membenarkan apa sahaja yang diterima.
Kepada keyboard warrior, cukup-cukuplah menjaja cerita dan sudah-sudahlah mencipta berita. Cuba-cubalah untuk bersimpati dengan keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MAS MH370. Mereka diburu resah dan dihambat gelisah memikirkan orang-orang yang mereka sayang, yang kini masih lagi menjadi tanda tanya. Mereka tidak pernah tenang dan senang sejak hari pertama tragedi, tapi kalian pula tidak pernah jemu dan lesu untuk menyebarkan cerita yang tak berasas.
Sejak hari pertama pesawat dilaporkan hilang, khabar angin bertiup kencang, kononnya pesawat terhempas di perairan Vietnam dan semuanya penumpang serta anak kapal terbunuh. Sumbernya mudah sahaja, iaitu dakwaan Sarjan Abd Hamid. Siapakah Sarjan Abd Hamid? Wujudkah manusia itu atau sekadar watak rekaan untuk melariskan karut-marut tersebut. Tersebar dakwaan,kononnya dalang di sebalik semua ini ialah pilot dan pembantunya sebab mereka kecewa Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara 5 tahun. Lagi teruk apabila wujudnya si tolol yang berlagak sebagai mufassirin dan cuba mengaitkan tradegi MH370 dengan ayat tertentu dari surah Yassin.
Dan, sekiranya para Keyboard warrior tidak tenang dan tidak senang andainya tidak dapat mengulas tragedi MH370, tumpukan sahaja usaha anda untuk mengutuk bomoh khurafat, sekurang-kurangnya kita menentang khurafat.
P/S: Sama ada pesawat terhempas atau dirampas, biarlah pihak berkuasa yang uruskan.. Biarkan mereka berusaha dan tugas kita ialah berdoa.