Quantcast
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

Hukum Memberikan Daging Korban Kepada Penyembelih dan Pelapah.


Masih berlaku di sesetengah tempat, di mana orang-orang yang berkorban memberikan daging atau bahagian korban kepada penyembelih dan pelapah binatang korban tersebut.

Isunya, adakah amalan atau perbuatan tersebut menepati kehendak agama, atau ia merupakan amalan atau kebiasaan yang jauh tersasar atau terpesong dari landasan agama dan mencarik syarat-syarat ibadah korban.

Bolehkah diberikan atau diagihkan daging dan bahagian korban yang lain seperti kulit kepada tukang penyembelih dan pelapah. ?

Sebenarnya ia bergantung kepada matlamat atau tujuan agihan. 

Jika daging kurban tersebut diberikan kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah dari kerja yang mereka lakukan( iaitu menyembelih dan melapah), maka ia termasuk dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadith-hadith yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim. 

Riwayat-riwayat hadith tersebut adalah daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:

“Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari hadith ke-1716, Muslim, hadith ke-1317) Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali: “Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”. 

Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian kurban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan kurban.

Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 

“Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikurban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.) 

Ini seperti memberikan kepada penyembelih di atas dasar kemiskinan atau persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orang ramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian kurban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.



Lebih lanjut, langsung sahaja ke :

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

Trending Articles