![]() |
Kejadian luar duga yang mengemparkan seantero umat islam ini berlaku pada 20 November 1979. Peristiwa tersebut merupakan tragedi berdarah pertama yang berlaku dalam sejarah moden Kota Mekah.
Tragedi berdarah ini berlaku apabila Abdullah Hamid Mohammed Al-Qahtani yang dibantu oleh adik iparnya, Juhaiman ibn Muhammad ibn Saif al-Utaibi dan disertai 500 orang penyokong kuatnya telah menyerang Masjidil Haram dan menawan ribuan jemaah haji sebagai tebusan.
Ketika itu musim haji baru saja berakhir, namun masih ramai yang mengerjakan umrah di Tanah Suci tersebut. Ada yang bersolat, tawaf, sai, mengaji Al-Quran dan sebagainya. Sementara itu, Imam Masjidil Haram ketika itu, Syeikh Mohammed al- Subayil sedang bersiap sedia untuk memimpin para jemaah untuk menunaikan solat subuh.
PUNCA PENAWANAN KOTA MEKAH.
- Juhaiman dipercayai seorang pelampau agama dan beliau percaya kebanyakan ketua kerajaan islam di dunia adalah korup dan proksi kepada kuasa barat, terutamanya Amerika Syarikat.
- Juhaiman juga mahukan keluarga diraja Al Saud yang memerintah Arab Saudi digulingkan.
- Selain itu, Juhaiman juga menuntut agar eksport minyak Arab Saudi ke Amerika Syarikat dihentikan.
- Juhaiman juga menuntut agar semua penasihat tentera yang bukan islam diusir dari tanah Arab.
Penawanan Masjidil Haram bermula apabila pengikut-pengikut Juhaiman yang berjumlah sekitar 500 orang telah menerpa masuk ke Masjidil Haram dan kemudiannya mereka bertindak mengunci semua pintu masuk ke masjid yang mulia tersebut. Juhaiman kemudiannya mengambil alih sistem pembesar suara Masjidil Haram dan mengumumkan kemunculan Imam Mahdi di Kota Mekah.
Pada awalnya, Angkatan Tentera Pegawai Kebangsaan(National Guard) dan Tentera Arab Saudi cuba merempuh masuk ke perkarangan Masjidil Haram dengan menggunakan kereta kebal, tetapi gagal. Ini disebabkan pintu tersebut yang sangat kukuh, selain mendapat tentangan hebat daripada Juhaiman dan para pengikutnya. Juhaiman juga telah menempatkan penembak curi di menara masjid. Ini menyebabkan beberapa orang tentera Arab Saudi telah terkorban.
Pada awalnya juga ulama-ulama Arab Saudi tidak bersetuju dengan penggunaan senjata sebagai usaha mendapatkan kembali Majidil Haram. Ini kerana ia akan mencemarkan masjid yang mulia tersebut. Namun, atas desakan kerajaan, akhirnya ulama-ulama tersebut menyetujui dan mengeluarkan fatwa bagi membenarkan penggunaan senjata untuk menentang penceroboh.
Menyedari ketidakupayaan menewaskan penceroboh dan membebaskan Majidil Haram, akhirnya kerajaan Arab Saudi terpaksa meminta bantuan daripada Pasukan Anti Keganasan Perancis (GIGN). Tiga orang anggota GIGN telah memeluk islam bagi membolehkan mereka memasuki Tanah Haram Mekah. Ini sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Ulama Arab Saudi.
Insiden pengepungan Masjidil Haram berjaya ditamatkan pada 4 Disember 1979, iaitu selepas dua minggu masjid suci tersebut ditakluki Juhaiman dan pengikutnya.
Mengikut Laporan Rasmi, insiden tersebut telah mengorbankan 127 nyawa dan mencederakan seramai 451 orang. Jumlah ini merangkumi tebusan, pengikut Juhaiman dan tentera.
Walaupun begitu, ramai yang percaya, angka sebenar kematian ialah seramai 255 orang, sementara 560 orang lagi tercedera. Juhaiman, Abdullah Hamid Mohammed Al-Qahtani , dan pengikutnya yang masih hidup telah menyerah diri, dan mereka kemudiannya dijatuhkan hukuman pancung.
Luaskan wilayah persahabatan dan lebarkan empayar persaudaraan,
Jom, likes fan page saya,di ---> Bicara Tanpa Sempadan