Quantcast
Channel: shameel iskandar
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

Kakitangan kesihatan tidak cukup rehat

$
0
0

Kakitangan kesihatan, terutamanya doktor dan jururawat yang bertugas di hospital merupakan antara penjawat awam yang paling ramai bertemu dengan pakar psikologi untuk mendapatkan khidmat kaunseling. Demikianlah pendedahan yang dibuat oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA), Dr Abdul Halim Mohd Hussin, sebagaimana dilaporkan menerusi akhbar Harian Metro bertarikh 10. Oktober.2014. 


Pelbagai faktor menyebabkan mereka mengalami tekanan, termasuklah kerana tidak memperolehi rehat yang mencukupi. Beberapa bulan yang lepas, negara dikejutkan dengan kematian Dr. Afifah Mohd Ghazi. Doktor yang berusia 27 tahun itu terbunuh dalam satu kemalangan di Sungai Buloh usai kembali bertugas selepas ‘on call’ di Hospital Sungai Buloh. 

Kematiannya mendapat perhatian banyak pihak, ini disebabkan ia berkaitkan dengan beban kerja doktor keterlaluan hingga menyebabkannya keletihan. Malah, pendakwah terkenal Dr. Zaharuddin Abd Rahman, yang juga Presiden Murshid turut terpanggil untuk membicarakan isu ini. Kematian Dr. Afifah: Waktu Kerja Doktor Mesti DiPerbaiki , itulah tajuk tulisannya di laman facebooknya. 

Tugas kakitangan kesihatan amat memenatkan dan sangat meletihkan. Mereka kekurangan masa rehat dan terpaksa bekerja dalam tempoh yang amat lama. Walaupun saya seorang guru, dan bukannya seorang doktor , jururawat atau kakitangan kesihatan, tapi saya akui hakikat ini. Saya ingat lagi, beberapa tahun dahulu, atau lebih tepat lagi pada penghujung tahun 2011 hinggalah Mac 2012. Ketika itu arwah saya dimasukkan ke wad 8 Selatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Krian. 

Sepanjang menemani ayah ketika ayah ‘mendiami’ wad 8 selatan HUSM, saya mengutip seribu erti dan sejuta makna. Erti sumbangan dan makna pengorbanan yang telah para doktor dan jururawat curahkan. Di wad tersebut saya menyaksikan pelbagai ragam dan karenah pesakit, yang pasti sahaja menuntut kebijaksanaan dan kesabaran para doktor dan jururawat yang bertugas. Jauh di sudut hati saya merumuskan, tentu sahaja kerjaya sebagai doktor dan jururawat ini amat melelahkan akal dan sangat memenatkan fizikal. Jauh lebih lelah dan penat berbanding saya, seorang guru.

Bukan itu sahaja, wad tersebut juga menjadi rumah kedua doktor dan jururawat yang bertugas. Bukan setakat makan dan minum, malah mereka turut bermalam di situ. Bermalam bukan bermakna lena melayari malam tapi berjaga melayani pesakit yang pelbagai ragam. Begitu juga ketika orang lain bercuti pada hujung minggu dan ketika cuti-cuti umum, namun mereka tetap setia untuk merawat pesakit. 

Sejujurnya, apabila seseorang ditimpa masalah kesihatan, terutamanya penyakit kronik, mereka akan mencari doktor dan Tuhan. Mereka akan menuju ke hospital dan rumah ibadat. Kepada doktor , untuk memperolehi rawatan sesempurna mungkin. Kepada Tuhan, untuk berdoa dengan penuh pengharapan agar penyakit disembuhkan. Begitulah penting dan besarnya peranan seseorang doktor. 

 Tajuk Lain Yang Berkaitan : Hargailah Jasa jururawat

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

Trending Articles