Quantcast
Channel: shameel iskandar
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

Tips mengelakkan stress ketika menjelang peperiksaan.

$
0
0



Diburu resah dan dikejar gelisah. Itulah yang menjelma tatkala peperiskaaan semakin menghampiri. Tekanan perasaan atau stress pasti sahaja menganggu gugat tenang hidup dan kesempurnaan belajar. 

Tekanan perasaan atau stress adalah lumrah kepada setiap manusia. Cuma, tahapnya berbeza selari dengan tanggungjawab dan bebanan yang dihadapi.

Bagi seseorang pelajar, tekanan atau stress biasanya akan menjelma ketika detik-detik peperiksaan semakin hampir. 

Terdapat beberapa faktor yang mendorong berlakunya stress, antaranya ialah kegagalan menguruskan masa dengan baik, pemakanan yang tidak seimbang, masalah kekurangan keyakinan diri dan juga harapan ibu- bapa yang terlalu tinggi terhadap si anak. 

Memandangkan peperiksaan penting seperti PT3, SPM dan STPM bakal menjelma dan demam peperiksaan mula melanda, eloklah untuk entry ini saya kongsikan panduan atau cara-cara mengelakkan stress ketika menjelang peperiksaan. 

Entry ini asalnya ialah panduan yang diberikan oleh Pakar Motivasi terkenal, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 7. Oktober. 2014. Saya paparkan kembali di blog ini (dengan sedikit pengubahsuaian) untuk manfaat bersama



Tips mengatasi stress menjelang peperiksaan: 

1. Pengurusan masa yang betul. 

Pelajar perlu mengelakkan diri daripada mengulangkaji pada saat akhir. Pelajar perlulah menyediakan jadual belajar dan mengatur masa dengan efisien. Pelajar juga perlu mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah dalam minggu peperiksaan, sebaliknya menyusun atur jadual agar lebih kepada aktiviti ulang kaji. 

2. Pengambilan makanan seimbang.

Ia sangat penting kerana pengambilan makanan yang berkahsiat mengikut aturan masa dapat mengelakkan daripada tekanan sewaktu belajar. Elakkan daripada mengambil makanan yang tinggi lemak, gula dan sodium. 

Pengambilan sarapan juga amat penting sebelum memasuki dewan peperiksaan . Kaedah ini akan membantu seseorang pelajar agar mempunyai tenaga dan tenang untuk menjawab soalan, dan seterusnya mengelak daripada tertekan akibat lapar. 

3. Berbincang dengan ibu bapa.

Harapan yang terlalu tinggi daripada kedua-dua ibu bapa juga merupakan antara faktor yang menyebabkan pelajar menghadapi stress. Oleh itu, ibu bapa perlu bertenang dan mengetahui tahap kemampuan anak masing-masing. Mereka seterusnya perlu menyokong dan bukannya mendesak untuk mendapatkan keputusan cemerlang. 

Sesungguhnya tidak ada ibu bapa yang mahukan anak mereka gagal dalam pelajaran. Namun demikian, ibu bapa tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi sehingga anak-anak mereka berasa tertekan kerana perlu memenuhi kehendak keluarga. 

4. Tidur secukupnya. 

Tidur adalah rehat yang paling sempurna. Jadi pelajar perlulah mempunyai waktu tidur yang mencukupi agar ia dapat menyegarkan fizikal dan emosi. Tidur yang mencukupi juga dapat menyusun ingatan dalam otak kita. 

5. Sentiasa bisikkan ayat positif pada diri sendiri. 
Contohnya, AKU PELAJAR CEMERLANG’. 

6. Bagi pelajar yang beragama Islam. 

Biasakanlah berwuduk setiap kali ingin membuat ulang kaji. Berwuduk akan menenangkan jiwa dan akan memudahkan kita mengingati apa yang dipelajari. Selain itu jangan sesekali melupakan solat dan jangan abaikan amalan membaca Al-Quran. 

7. Teknik menarik nafas. 

Tarik nafas dan hembus perlahan-lahan adalah antara cara paling mudah untuk mengatasi tekanan . Bernafas dengan cepat akan meningkatkan tindak balas tekanan. Jadi pelajar perlu bertenang dan bernafas secara perlahan bagi membekalkan oksigen yang secukupnya kepada otak. 

Info Tambahan: 

Sepanjang pengalaman saya sebagai seorang guru yang kerap kali bertugas sebagai pengawas SPM, seringkali saya melihat pelajar-pelajar berbincang sebaik sahaja tamatnya kertas peperiksaan tertentu. Sebagai contoh, sebaik sahaja selesai masa menjawab kertas peperiksaan sejarah, mereka akan berbincang dengan rakan-rakan, malah ada yang bertanyakan gurunya tentang jawapan yang telah dijawab/dipilih. 

Sepatutnya mereka lupakan mata pelajaran yang telah berlalu dan fokuskan perhatian kepada mata pelajaran yang bakal menjelma. 

Semoga tips ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar, dan setersunya dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan senang.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

Trending Articles