Ramai antara kita yang memandu kenderaan termasuklah untuk berulang alik ke tempat kerja dan untuk pulang ke kampung. Kadang-kadang kita terlalu pasif ketika memandu. Memandu dalam keadaan terlalu serius dan ingin mengejar masa sememangnya mengundang tekanan perasan, dan membosankan.
Berhibur sambil memandu merupakan satu kaedah untuk menjadikan pemanduan itu lebih menyeronakkan. Sejujurnya secara peribadi saya turut mengamalkan sebahagian daripada tips ini ketika memandu ke tempat kerja. Untuk pengetahuan pembaca, hari ini, setiap hari saya berulang-alik sejauh 200KM untuk ke tempat kerja. Saya menetap di Bachok Kelantan dan bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah di Daerah Jeli.
Malah sebelum ini saya berkhidmat di Chemor, Ipoh Perak dan seringkali pulang ke kampung di Bachok Kelantan apabila tibanya cuti persekolahan. Seringkali saya memandu bersendirian dari Perak ke Kelantan.
Panduan atau tips ini saya petik daripada akhbar Harian Metro bertarikh 16. Ogos.2014. Saya kongsikan di sini dengan sedikit pengubahsuaian untuk manfaat bersama. Mudah-mudahan ia mampu menjadikan pemanduan anda lebih seronak, ceria dan mengembirakan.
1. Membawa rakan bersama ketika memandu.
Bagi perjalanan jauh memang membosankan jika memandu keseorangan. Bukan sahaja tiada teman bercakap, malah tiada hiburan yang menarik boleh dilakukan andainya tiada teman ketika memandu.
2. Mendengar radio.
Ia merupakan salah satu teknik untuk menghilangkan tekanan ketika ke pejabat/tempat kerja pada waktu pagi. Tekanan di alami pada waktu pagi berpunca daripada beberapa sebab, terutamanya kesesakan lalu lintas. Justeru, alihkan perhatian seketika bersama DJ kegemaran anda, mudah-mudahan ia mampu mengembalikan kecerian kepada anda ketika memandu. 3. Buka tingkap kereta. Sepanjang tempoh memandu, sesekali kita perlu membuka tingkap kereta untuk menghirup udara segar. Jika kita pulang ke kampung halaman, lebih terasa kenikmatan angin yang bertiup dan pemandangan sekeliling yang menghijau.
4. Menyanyi sambil memandu.
Apa salahnya ketika memandu itu kita cuba nyanyikan lagi yang dimainkan oleh radio dan bayangkan kita sedang berkaraoke. Sekurang-kurangnya tidaklah rasa terlalu bosan kerana terpaksa fokus ketika memandu.
Mudah-mudahan perkongsian ini mampu dimanfaatkan oleh pembaca. Moga-moga perjalan anda semua lebih mengembirakan dan Insya-Allah terpelihara daripada musibah.