Seorang ibu( termasuk juga bapa) dapat menjaga sepuluh orang anak, namun sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu(dan bapanya).
Saya tertarik dengan artikel yang pernah disiarkan di dalam akhbar Harian Metro bertarikh 14.Mei.2014. Saya pernah memaparkannya di dalam blog saya suatu ketika dahulu, anda boleh melihatnya di SINI. Saya paparkan kembali sebahagian daripada tulisan tersebut.
Beratus-ratus ibu bapa dibuang setiap tahun oleh zuriat mereka sendiri di hospital dan rumah kebajikan di seluruh negara. Fenomena menyedihkan ini menunjukkan semakin ramai anak zaman sekarang yang tidak tahu mengenang budi terhadap pengorbanan orang tua yang membesar dan memelihara mereka. Lebih menyedihkan ada warga tua yang tidak dijenguk waris atau anak hingga mereka meninggal dunia dan dikebumikan tanpa pengetahuna serta kehadiran anak. Dalam kebanyakkan kes, ibu bapa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun apabila sudah sembuh, anak tidak datang mengambil mereka.
Sumber: Harian Metro, 14. Mei.2014.
Tidak adil sebenarnya, jika kita memperkatakan sesuatu isu berdasarkan kebiasaan dan kelaziman. Kebiasaan dan kelaziman di sini bermaksud budaya dan tradisi. Menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan orang tua adalah bertentangan dengan budaya dan tradisi orang Melayu. Ia bercanggah dengan kebiasaan dan kelaziman yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat Melayu. Atau dengan kata lain ,ia bertentangan dengan budaya dan tradisi orang Melayu.
Namun, bagaimana pula di sisi agama. Adakah dibenarkan atau diharamkan secara mutlak. Untuk entry ini saya tertarik dengan jawapan dan ulasan yang diberikan oleh Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd. Kashim dalam ruangan Fiqah Semasa, Majalah Al-Ustaz edisi 45.
Saya paparkan sahaja jawapan dan ulasan beliau untuk manfaat bersama.
Menjaga ibu bapa merupakan kewajipan anak-anak dalam setiap keadaan. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah.
“Dan berbuat baiklah(ihsan) kepada ibu bapa.”(Surah al-Nisa’:36)
Ayat di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya tanggungjawabanak-anak kepada ibu bapa setelah dewasa. Hukum menghantar ibu-bapa ke rumah kebajikan orang tua.
Pertama: Dibenarkan sekiranya menepati syarat-syarat berikut.
- 1. Hanya bersifat sementara dan berjadual. Ia bermaksud ibu bapa dihantar pada waktu bekerja sahaja contohnya dari jam 8 pagi hingga 7 malam. Ia bertujuan memastikan kebajikan ibu bapa terjaga ketika ketiadaan anak-anak di rumah.
- 2. Rumah orang-orang tua yang dihantar mestilah selesa dan setaraf dengan kedudukan anak-anak dalam kerjaya masing-masing
- 3. Anak-anak tidak melepaskan 100% tanggungjawab kepada pihak penjaga. Mereka hanya membantu ketika anak-anak tiada di rumah, dan bukannya mengambil alih amanah anak-anak yang dijanjikan syurga.
- 4. Segala kos ditanggung sepenuhnya oleh anak-anak.
Kedua : Haram.
- 1. Jika bertujuan untuk melepaskan tanggungjawab kepada penjaga rumah orang-orang tua
- 2. Selain itu, perbuatan tersebut juga dilarang jika syarat-syarat yang disebut tadi(rujuk hukum pertama, yang mengharuskan hantar ibu bapa ke rumah orang tua) tidak dapat dipenuhi oleh anak-anak.
Ketiga: Pilihan Terbaik.
- 1. Ialah ibu bapa dijaga sendiri oleh anak-anak jika mempunyai kelapangan masa untuk berbuat demikian. Walau bagaimanapun , ia lebih fokus kepada anak-anak yang tidak bekerja seperti anak perempuan yang menjadi suri rumah sepenuh masa.
- 2. Walaupun begitu, keputusan untuk menjaga ibu bapa di rumah anak perempuan wajib mendapat keizinan daripada suami terlebih dahulu. Ini kerana suami merupakan ketua keluarga.
Semoga perkongsian ringkas ini memberi manfaat kepada semua. Kepada sahabat- sahabat yang masih mempunyai orang tua, hormatilah dan sayangilah mereka. Tanpa mereka siapalah kita.