Sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke Kota Bharu Kelantan, tentu sahaja pernah melihat sebuah bangunan yang tersergam indah tidak jauh dari Dataran Al-Quran, bazar buluh kubu dan Masjid Muhammadi.
Bangunan tersebut dikenali sebagai Istana Jahar yang juga merupakan Muzium Adat Istiadat Di Raja Kelantan.
Untuk entry saya paparkan gambar-gambar yang saya rakam ketika berkunjung ke Istana Jahar bersama pelajar-pelajar saya pada tahun lepas.
Manakala untuk penulisan entry ini, saya membuat rujukan ke beberapa sumber, antaranya ialah Muzium Kelantan, Wikipedia dan sebuah artikel dari akhbar Harian Metro bertarikh9.Jun.2011 yang bertajuk Istana Jahar hadiah perkahwinan.
Istana Jahar ini pada asalnya adalah sebuah istana milik Raja Bendahara Kelantan, Tengku Long Kundur Sultan Ahmad. Istana Jahar dibina dengan menggunakan kayu pada zaman akhir pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886).
Pembinaannya siap pada tahun 1887, setahun selepas kemangkatan Sultan Muhammad II. Istana ini dibina sebagai hadiah perkahwinan kepada cucunda baginda Long Kundur dengan Tengku Embong, puteri kepada Tengleu Puteh, Raja Patani III.
![]() |
Pemandangan Dataran Al-Quran dari Istana Jahar |
Pada masa pemerintahan Sultan Muhamad IV, baginda telah menjadikan Istana Balai Besar sebagai tempat bersemayam baginda. Namun Istana Jahar masih juga digunakan. Istana ini tidak mempunyai nama sehinggalah pada tahun 1911 selepas Sultan Muhamad IV pulang daripada melawat Singapura dan membaiki Istana ini.
Istana ini diberi nama Istana Jahar, mengambil sempena nama daripada sejenis pokok bunga yang menghiasi halaman Istana Jahar. Istana ini kemudiannya dikurniakan kepada puteranya Tengku Ismail yang bergelar Tengku Seri Indera Mahkota.
Selepas kemangkatan Sultan Muhamad IV pada tahun 1920, puteranya Tengku Ismail menggantikan baginda menaiki takhta Kerajaan Kelantan bergelar Sultan Ismail. Sultan Ismail tidak bersemayam di Istana Balai Besar sebaliknya bersemayam di Istana Jahar iaitu istana yang dikurniakan oleh Almarhum ayahanda baginda.
Sultan-sultan Kelantan yang kemudian seperti Sultan Ibrahim (1944-1960) dan Sultan Yahya Petra (1961-1979) tidak lagi bersemayam di Istana Jahar sebaliknya mempunyai istana sendiri.
![]() | |
mata wang yang pernah digunapakai di Kelantan suatu masa dahulu |
Bersesuaian dengan istana yang sudah menjadi tempat persemayaman beberapa orang Sultan yang memerintah, istana tersebut akhirnya dijadikan sebagai Muzium Adat Istiadat Di Raja Kelantan yang dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pada 27 Julai 1992.
Muzium ini mempamerkan sejarah kesultanan Negeri Kelantan daripada zaman awal hinggalah kepada pemerintahan Sultan Kelantan pada masa sekarang.
Ruang pameran yang terdapat di bangunan Muzium ini dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti peralatan senjata, pakaian tradisi, dan hal-hal lain yang berkaitan dengan kesultanan.
Walaupun telah dijadikan Muzium tetapi reka bentuk asal bangunan ini tetap dipelihara. Seni binanya yang unik dengan ukiran-ukiran yang cantik telah menyerikan lagi bangunan istana yang dijadikan muzium itu.
Jadi sempena tahun melawat Kelantan 2016, eloklah kita mencari sedikit ruang dan peluang untuk berkunjung ke Istana Jahar ini.
![]() |
senjata tradisional masyarakat Melayu Kelantan. |