Sesiapa sahaja yang melalui zaman kanak-kanak di kawasan kampung sekitar tahun 1980-an dan sebelumnya pasti sahaja pernah bermain atau sekurang-kurangnya melihat meriam buluh. Pada bulan puasa terutamanya, meriam buluh akan memecah keheningan malam yang sunyi. Hari ini meriam buluh semakin pupus ditelan zaman. Modenisasi dan urbanisasi telah meminggirkan ia ke arkib kenangan. Mungkin di sesetengah kampung atau tempat, ia masih dimainkan namun ia tidaklah sehebat tahun-tahun 1980-an dan sebelumnya.
Walaupun saya pernah merasai kenikmatan dan kemeriahan bermain meriam buluh, namun sejujurnya saya tidak pernah mengetahui asal usul atau sejarah kemunculannya. Saya yakin, masih ramai antara kita yang tidak pernah tahu tentang perkara ini.
Alhamdulillah, dalam akhbar Berita Minggu hari ini, 19.Jun. 2016, terdapat info ringkas mengenai sejarah terciptanya meriam buluh. Jadi untuk entry ini, saya ingin kongsikan info tersebut untuk manfaat bersama.
Tradisi bermain meriam buluh ini dikatakan bermula sejak ratusan tahun dahulu, iaitu sekitar lebih 140 tahun lampau.
Pada zaman dahulu, meriam buluh digunakan oleh penduduk untuk menghalau haiwan liar seperti harimau, harimau bintang dan gajah.
Das tembakan yang kuat terhasil daripada campuran kabait dan air ini mampu menakutkan haiwan liar. Sebelum Aidilfitri, beberapa das tembakan dilepaskan untuk ‘membersihkan’ kawasan dari gangguan haiwan liar.
Itu adalah fungsi meriam buluh pada peringkat awal. Maklumlah, pada zaman dahulu, kehidupan di kampung sentiasa diancam gangguan binatang liar seperti gajah, harimau dan babi hutan.
Itu kisah ratusan tahun dahulu, namun ketika saya di alam kanak-kanak pada pertengahan tahun 1980-an bermain meriam buluh tidak lagi untuk menakutkan atau menghalau binatang liar. Tetapi sekadar untuk memeriahkan malam-malam d bulan Ramadan.
Pada ketika itu, mercun-mercun agak terhad dan duit juga sangatlah terbatas. Walaupun ia kurang berbahaya, namun kecuaian ketika bermain meriam buluh tetap mengundang malapetaka.
Tapi, seingat saya, tidak pernah ada rakan –rakan yang tercedera ketika bermain meriam buluh, dan yang pasti golongan yang terputus jari dan terhancur tangan adalah golongan yang terdiri dari species Macgyver( merujuk kepada golongan sangat kreatif), iaitu golongan yang bermain mercun buatan sendiri.