Ini adalah entry ulang siar. Saya pernah menyiarkan entry ini pada bulan Ramadhan tahun lepas,2015. Kini saya paparkan kembali untuk manfaat bersama.
Kanak-kanak yang belum akil baligh tidak diwajibkan berpuasa. Namun ia perlu diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi supaya mereka terbiasa dengan puasa. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, itu pesan leluhur sejak zaman berzaman. Pesanan itu amat bermakna dalam proses mendidik anak-anak.
Pesanan ini juga amat selari dengan tuntutan agama, termasuklah dalam urusan ibadat. Ini terbukti melalui sabda Nabi Muhammad S.A.W :
“Suruhlah anak-anak kamu bersolat semasa usia 7 tahun dan pukulah apabila mereka berusia 10 tahun.”( Riwayat Ahmad dan Abu Daud daripada Amir Ibn Al-As)"
Sebagaimana solat, berpuasa juga merupakan ibadat jadi ia perlu diterapkan atau dibiasakan sedari awal lagi.
![]() |
Berita Harian : 16. Julai. 2014 |
Seterusnya untuk entry ini, saya sekadar memaparkan( dengan sedikit perubahan) artikel berjudul Tip Latih Anak Berpuasa yang disiarkan di dalam Majalah Harmoni, edisi 1 September 2010, halaman 75.
TIPS LATIH ANAK BERPUASA.
Latih anak daripada kecil.
Bagaimanapun janganlah dipaksa anak-anak berpuasa. Sebaliknya latih mereka mengikut kemampuan. Lakukan secara perlahan-lahan , misalnya bermula dengan separuh hari, kemudian tambahlah sedikit demi sedikit sehingga mereka mampu berpuasa hingga sebulan.
Had Masa Berpuasa.
Dalam pada terangkan kepada mereka bahawa seseorang yang berpuasa tidak boleh makan dan minum dari awal pagi hingga maghrib. Pada peringkat awal mereka mungkin mengadu penat atau lapar, tetapi lama kelamaan , anak-anak boleh menyesuaikan diri dengan keadaan.
Bagitau mereka tentang Kelebihan Berpuasa.
Terangkan kepada mereka tentang kelebihan berpuasa, sama ada di dunia dan di akhirat. Berpuasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi ia juga bertujuan untuk menyedarkan kita tentang nasib fakir miskin yang sering kelaparan dan tidak mampu membeli makanan dan minuman.
Bagitau anak-anak tentang Larangan Ketika Berpuasa.
Dalam pada itu, beritahu anak-anak secara lembut tentang perbuatan yang dilarang ketika berpuasa. Sekiranya anak-anak tidak berpuasa, nasihatkan dia supaya tidak makan di hadapan orang yang berpuasa. Dalam usia 4 atau 5 tahun, anak-anak sudah faham tentang larangan itu.
Elakkan Letak Makanan Di Tempat Terbuka.
Jauhi makanan atau minuman di tempat terbuka di rumah seperti di meja makan atau cabinet dapur supaya anak tidak terdorong untuk berbuka lebih awal daripada waktunya. Bagi anak-anak yang berumur tujuh hingga sepuluh tahun, galakan mereka melakukan aktiviti berguna tetapi tidak meletihkan seperti membantu anda melipat kain, membasuh pinggan, membuat kad ucapan dan sebagainya.
Biarkan Anak-Anak Rehat.
Nasihatkan mereka agar tidak terlalu aktif bermain. Biarkan mereka berehat supaya tidak kepenatan, tetapi jangan sampai berlebihan kerana ia membuatkan anak anda semakin melas, lemah dan kurang bersemangat.
Wujudkan Suasana Islamik.
Ini termasuklah mengajak mereka menunaikan solat Tarawih sama ada di surau, masjid atau bersama keluarga di rumah. Selain mengerjakan ibadat, mereka juga mendapat kawan baru. Jika mereka ingin melihat telivisyen, dedahkan mereka dengan cerita yang berunsur islam.
Berbuka Bersama Keluarga.
Jadikan bulan puasa untuk merapatkan jurang antara keluarga. Luangkan masa untuk pulang awal ke rumah untuk berbuka puasa bersama.
Hadiah Sebagai Motivasi.
Sebagai galakan berilah upah atau ganjaran lain sebagai motivasi sekiranya mereka berpuasa. Jangan hukum anak-anak yang enggan berpuasa, sebaliknya nasihatkanlah dengan lemah lembut dan penuh toleransi.
Semoga tips atau panduan yangdipaparkan ini dapat dimanfaatkan untuk mendidik anak-anak agar mematuhi rukun islam yang ketiga ini. Biasakan mereka dengan ibadat puasa, namun dengan penuh hikmah, mudah-mudahan ia berbekas dan berkesan.