Quantcast
Channel: shameel iskandar
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

Pembaziran di bulan Ramadan

$
0
0

Ramadan bukan setakat berpuasa, dan tidak hanya sekadar untuk berlapar dan dahaga. Tetapi ia mengandungi seribu erti dan sejuta makna. Antaranya ialah makna kesyukuran dan erti keinsafan. Kesyukuran dan keinsafan yang menjadi titi untuk kita menyemberang dan meriah taqwa. 

Lapar dan dahaga yang seketika cuma, iaitu sekitar 14 jam waktu berpuasa, sepatutnya menginsafkan kita, kerana dalam masa yang sama terdapat jutaan manusia yang berlapar dan dahaga sepanjang masa. Mereka kebuluran dan hidup tersiksa. Mengenang penderitaan mereka, akan menyuntik kesedaran di hati kita dan seterusnya menjadikan kita manusia yang bersyukur dengan limpah kurnia Allah yang melimpah ruah kepada kita. 




Namun, mesej tersembunyi di sebalik ibadah puasa ini gagal kita selongkari lantaran sikap kita yang membazir dan berbelanja tanpa kawalan. Bayangkanlah sebanyak 3,600 tan sisa makanan dibuang begitu sahaja pada hari pertama puasa tahun ini, iaitu pada 6 Jun 2016, sebagaimana yang dilaporkan di dalam akhbar Harian Metro bertarikh 8 Jun 2016. 

Perlu difahami, sisa yang dimaksudkan di sini bukannya merujuk kepada tulang ikan, kulit telur, tulang ayam dan sebagainya, tetapi ia merujuk kepada lebihan makanan yang dibazirkan, malah yang tidak diusik dan apa yang pasti ia masih boleh dimakan. 

Jumlah ini ternyata lebih tinggi berbanding kadar pembaziran ketika Ramadan tahun 2015, iaitu hanya sekitar 1,000 tan makanan di buang oleh rakyat Malaysia setiap hari pada bulan puasa. Peningkatan sebanyak 2,600 tan. 

Jika pada tahun lepas, jumlah makanan yang berlebihan dan dibuang dapat menampung 7 juta orang, maka untuk tahun ini mungkin lebih 21 juta orang dapat ditampung dengan lebihan makanan yang dibuang sewenang-wenangnya itu. Bayangkan jua, jika menggunakan lori berkapasiti 1 tan, sebanyak 3,600 lori diperlukan bagi mengisi sisa-sisa makanan tersebut. Malah, jumlah sisa-sisa makanan tersebut mampu memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Itu kisah pembaziran pada bulan Ramadan tahun ini. Ternyata ia jauh lebih hebat berbanding pembaziran pada bulan Ramadan tahun lalu


 


Mengikut Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Teknologi SW Corp Malaysia, Ir Zainuddin Abdul Samad, hasil penyelidikan mendapati terdapat penambahan antara 15 hingga 20 peratus sisa makanan sepanjang Ramadan berbanding hari-hari biasa. 

Dalam masa yang sama Mufti Pahang,Datuk Seri Abdul Rahman Othman menyarankan agar peniaga makanan dan pengusaha hotel agar mengurusakan lebihan makanan dengan bersedekah kepada fakir miskin, anak yatim, rumah kebajikan atau masjid. Katanya lagi, kebiasaanya penguasaha hotel terpaksa membuang lebihan makanan kerana terikat dengan protokol atau peraturan. 

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia(PPIM), Datuk Nadzim Johan mencadangkan agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap peniaga makanan atau penguasaha hotel yang sengaja membuang lebihan makanan dan tidak menguruskannya dengan sempurna. Terbaru, beliau mencadangkan agar JAKIM menarik balik sijil halal hotel dan restoran yang membazir lebihan makanan. 

Sebenarnya, selain penguasaha hotel dan peniaga makanan, pembaziran juga dilakukan secara individu. Pada bulan puasa yang panas dan kontang, ramai antara kita yang dipukau oleh pelbagai juadah terutamanya di Bazar Ramadan. Beraneka makanan, lauk pauk, kuih muih dan minuman yang dibeli dengan jumlah yang banyak dan melampaui keperluan. Akhirnya sesudah berbuka, makanan dan minuman tadi akhirnya terpaksa bersemadi di dalam tong sampah.

Mudah-mudahan episod pembaziran ini berjaya dikurangkan meskipun tidak dapat dinoktahkan. Semoga keinsafan dan kesedaran serta kesyukuran dapat menerobos ke dalam diri muslim dan seterusnya menjadi senjata yang ampuh untuk menentang pembaziran. Ingat, Ramadan adalah pesta ibadah dan bukannya pesta makanan.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644