Dahulu isu ini tidak pernah timbul. Ini kerana ‘unifrom’ khas untuk kaum lelaki pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha ialah Baju Melayu. Untuk Aidiladha, ia dipakai seketika cuma, iaitu ketika menunaikan solat sunat Aidiladha sebab selepas itu kaum lelaki kena tukar pakaian untuk aktiviti melapah daging.
Mengenai Jubah pula, Beberapa tahun dahulu, pemakai jubah amatlah terhad dan terbatas. Kebiasaannya ia dipakai oleh Pak-pak haji dan juga golongan agama. Tapi hari ini, jubah semakin diminati oleh banyak pihak termasuklah para remaja. Jubah juga tidak lagi berimejkan timur tengah semata-mata, tetapi turut diberikan sentuhan moden.
Umum mengetahui terdapat dua jenis baju Melayu , iaitu Baju Melayu cekak musang dan Baju Melayu Teluk Belanga. Baju Melayu ini dipakai lengap bersampin dan bersongkok.
Tetapi di Kelantan, kebiasaanya baju Melayu hanya dipakai bersama kain pelikat dan kopiah. Di Kelantan sekitar tahun 1970-an dan 1980-an baju melayu juga dikenali sebagai Baju Gombang. Hari ini juga masih ada generasi tua yang memanggilnya sebagai baju gombang. Di negeri lain, saya tak pasti adakah terdapat gelaran lain untuk baju Melayu.
Sebenarnya entri ini bukanlah bermaksud untuk bercerita perihal baju Melayu secara panjang lebar. Sebab ada topik lain yang lebih penting untuk diceritakan dan dimurnikan, malah diperbahaskan andainya perlu.
Topik yang saya maksudkan ialah polemik antara baju Melayu dan Jubah sebagai ‘uniform’ raya.
Hairan sungguh, sebab isu sebegini remeh pun menjadi topik perbincangan hangat segelintir netizen. Malah ada yang peril memerli dan kutuk mengutuk di media sosoial.
Sesetengah pihak melihat budaya memakai Jubah dan kurta sebagai perbuatan menghakis budaya Melayu. Ia dianggap sebagai proses Arabisasi yang mengancam warisan Melayu. Mereka amat khuatir suatu masa nanti, orang-orang Melayu akan hilang jati dirinya sendiri kerana lebih mengagungkan budaya masyarakat asing.
Namun, dalam masa yang sama sesetengah pihak pula cenderung memilih jubah atas alasan ia adalah pakaian sunnah kerana ia dipakai oleh Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat. Berbanding Baju Melayu yang berindentitikan bangsa, Jubah pula dilihat beridentitikan agama. Lalu mereka memilih jubah atas dasar memuliakan sunnah dan agama.
Saya tertarik dengan isu pemakaian Jubah. Dua perkara yang perlu difahami dalam isu ini.
1. Benarkan ia satu amalan sunnah yang dituntut?
2. Adakah ia pakaian yang melambangkan agama atau sekadar identiti masyarakat Arab?
Saya tertarik dengan pandangan yang dikemukakan oleh Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadawi. Beliau merupakan seorang Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia(USIM). Menurut beliau, sunah adalah apa yang lahir daripada Nabi Muhammad S.A.W yang bertujuan pensyariatan.
Menurutnya lagi, sekiranya sesuatu perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W tetapi tiada kaitan dengan syariat, maka ia sekadar harus dan bukannya sunah.
Secara mudahnya segala perbuatan Nabi Muhammad S.A.W yang dipengaruhi oleh faktor budaya dan persekitaran masyarakat Arab dikenali sebagai Sunnah Jibliyah. Manakala sunnah yang disyariatkan dikenali sebagai Sunnah Tasyri’iyah.
Perlu kita fahami ada perbuatan Nabi Muhammad S.A.W yang lahir disebabkan oleh faktor latar belakang tempat dan masa. Mengenai pemakaian Jubah, ia merupakan pakaian masyarakat Arab pada masa itu dan sesuai dengan keadaan persekitaran seperti keadaan cuacanya
Isu remeh temeh sebegini tidak perlu diperbesarkan sebenarnya. Sudah menjadi budaya orang Melayu berhari raya lebih dari sehari. Jadi apa salahnya jika hari raya pertama mengenakan Baju Melayu, manakala hari raya kedua mengenakan Jubah. Atau boleh juga Hari Raya pertama memakai Jubah, manakala Hari Raya kedua pula mengenakan Baju Melayu.
Andai masih keberatan juga, bolehlah memakai Jubah pada waktu pagi 1 Syawal dan sebelah petang pula bolehlah mengenakan Baju Melayu.