Quantcast
Channel: shameel iskandar
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

Kesan sampingan pengambilan ubat tahan sakit

$
0
0

Ramai antara kita yang mengambil ubat tahan sakit, setidak-tidaknya panadol untuk melegakan kesakitan. Ada yang mendakwa pengambilan ubat tahan sakit akan memberikan kesan jangka panjang, namun terdapat juga yang menafikan dakwaan tersebut. Mana satu fakta dan mana satu auta. 

Dalam hal ini tentu sahaja pandangan dan kajian daripada Kementerian Kesihatan terutamanya Bahagian Perkhidmatan Farmasi merupakan ‘ahli dhikri’(pihak yang mempunyai autoriti di dalam bidang mereka) yang wajar diterima pakai dan dijadikan rujukan oleh kita. 

Atas dasar tersebut, di sini saya kongsikan rencana (dengan sedikit pengubahsuaian tetapi masih mengekalkan makna dan maksud) yang saya petik dari akhbar Metro Ahad bertarikh 7 September 2014. Info bermanfaat tersebut mengenai kesan sampingan ubat tahan sakit. Ia disediakan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian kesihatan Malaysia. 

Ubat tahan sakit juga dikenali sebagai analgesik dan secara umumnya terdapat dua jenis analgesik, iaitu narkotik seperti kodein dan morfin, manakala ubat bukan narkotik ialah seperti paracetamol dan ubat anti radang bukan steroid(NSAID). 

Paracetamol dan sesetengah NSAID dikategorikan sebagai kumpulan C dan boleh didapati di kaunter farmasi tanpa preskripsi, manakala analgesik selain dari kumpulan itu boleh didapati hanya dengan preskripsi doktor. Walaupun paracetamol dianggap sebagai ubat yang selamat digunakan, ia boleh meningkatkan risiko kerosakan hati jika diguna dalam jangka masa panjang. Ini dapat dikenal pasti melalui gejala seperti mata sakit dan kulit kekuningan, kerap merasa loya dan muntah,sakit perut dan kepenatan melampau. 

NSAID pula biasa digunakan dalam rawatan keradangan akibat terseliuh dan sakit sendi(arthritis),kesakitan ketika haid dan merawat demam. Contoh ubat NSAID ialah mefenamic acid,aspirin dan diclofenac. Kesan jangka panjang pengambilan ubat NSAID termasuklah meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang, pendarahan terutama jika diambil bersama ubat cair darah dan ulser perut. 

Paracetamol seperti Panadol dan Uphamol adalah analgesik paling popular dalam kalangan umum. Selain sebagai ubat tahan sakit ia juga boleh digunakan untuk merawat demam. 

Berikut adalah antara kaedah untuk mengurangkan kesan jangka panjang ubat - ubatan analgersik. 

  • Mengambil analgersik pada masa yang betul dan dengan dos yang betul. 
  • Tidak mengambil analgesik secara berterusan tanpa nasihat doktor. 
  • Mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil ubat ubatan lain bersama analgesik kerana sesetengah analgesik boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan yang diambil. 
  • Tidak Mengambil NSAID bersama alkohol kerana dapat meningkatkan risiko ulser perut. Paracetamol juga boleh meningkatkan risiko kerosakan hati jika diambil oleh pengguna alkohol kronik. 
  • Mengambil ubat-ubatan analgesik selepas makan untuk mengurangkan risiko ulser perut. 
  •  Digalakkan menggunakan analgesik dalam bentuk salap kerana kurang memberi kesan sampingan berbanding analgesik dalam bentuk oral. 

Semoga info ini mampu memahamkan kita perihal ubat tahan sakit, dan paling penting kita perlu mengawasi pengambilannya. Mengawasi bukanlah bererti menolak atau menentang tetapi ia bermakna berpada-pada dan dengan membuat rujukan atau dengan nasihat serta kebenaran doktor.

 Sumber : Hidup Biar Sihat

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644