Masih ada yang salah faham terhadap konsep halal dan haram dalam perniagaan. Sesetengah pula sememangnya mengerti tapi sengaja tidak ingin ambil peduli. Mereka tidak cakna terhadap tuntuan agama.
Bagi sesetengah peniaga, urus niaga yang haram hanyalah melibatkan jual beli barangan dan produk yang haram sahaja seperti jual beli babi dan arak. Tapi isu penipuan dalam urus niaga tidak pula mereka ambil peduli.
Padahal islam amat melarang perbuatan menipu atau aktivit penipuan dalam perniagaan.
Pernah satu ketika Nabi Muhammad S.A.W hadir ke pasar dan baginda terpandang seorang peniaga kurma yang telah meletakkan buah-buah kurma yang segar di atas, manakala buah-buah kurma yang buruk dan rosak diletakkan di bahagian bawah. Ia mengambarkan kurma-kurma yang dijual itu semuanya baik dan segar. Baginda menegur peniaga kurma tersebut dengan bersabda
“ Barang siapa yang menipu, maka dia bukanlah daripada golonganku,”( Riwayat Muslim)
Amalan penipuan dalam perniagaan sememangnya telah berluasa sejak dahulu hingga kini. Jika dahulu, ia sekadar menipu timbangandan menjual barangan yang rosak dan tidak berkualiti. Tapi hari ini atas nama strategi perniagaan, amalan penipuan ‘dihalalkan’ peniaga-peniaga yang rakus memburu keuntungan.
Testimoni adalah satu bentuk pemasaran kerana ia amat berkesan untuk mempengaruhi pengguna atau menarik pelanggan. Semakin banyak testimoni berkualiti yang diterima maka sesuatu produk akan semakin diminati dan dicari. Dalam perniagaan online, testimoni terlalu penting dan sangat bermakna. Ia berupaya memperkenalkan sesuatu produk hingga tersebar dan meluas tanpa sempadan.
Testomoni yang jujur memang diharuskan sebab ia bererti menyebarluaskan kebaikan dan manfaat sesuatu produk.
Tapi malangnya, terdapat segelintir peniaga online dari group tertentu atau syarikat tertentu yang membentuk ‘Pakatan Harapan’ untuk melariskan produk yang mereka jual. Mereka menjual produk yang sama atau dari syarikat yang sama. Apabila salah seorang daripada mereka post di internet tentang produknya, maka ramailah yang datang memberi komen-komen yang baik dan kehebatan produk tersebut.
Mereka berpakat dan merancang testimoni dengan harapan dapat menarik ramai pelanggan. Malah terdapat dalam kalangan mereka yang mencipta testimony luar biasa untuk membuktikan keajaiban produknya.
Kepada para peniaga terutamanya peniaga online tolong hentikan amalan kotor ini kerana ia dilaknat oleh Rasulullah S.A.W. Kepada para pengguna pula jadilah pengguna yang bijak. Jangan terpedaya dengan testimony, kerana ia mungkin hanya janji-janji manis yang telah dirancang oleh sekumpulan peniaga untuk memancing minat anda.