Quantcast
Channel: shameel iskandar
Viewing all articles
Browse latest Browse all 644

Tragedi lemas di Pantai Irama, Bachok: Siapa yang perlu dipersalahkan

$
0
0

Pantai irama merupakan salah satu destinasi pelancongan di Kelantan. Ia terletak dalam Daerah Bachok, kira-kira 20 KM dari Kota Bharu. Dahulu, Pantai Irama yang menghadap Laut China Selatan ini hanya meriah pada hari Jumaat dan Sabtu dan ketika umum dan cuti-cuti persekolahan sahaja. Tapi kini semuanya telah berubah, pantai ini sentiasa dikunjungi oleh para pengunjung. 

Walaupun begitu, sejak dahulu hingga kini, pantai indah ini sentiasa dahagakan manusia. Saban tahun, pantai ini tidak akan sunyi dari menelan mangsa-mangsa yang lalai dan leka. Sejak zaman kanak-kanak hinggalah ke hari ini, episod tragedi pengunjung mati lemas di pantai ini tidak pernah tamat. 



Mengapa pantai ini sentiasa dahagakan manusia? 

Jika diajukan pertanyaan ini kepada segelintir golongan tua yang kurang mantap akidahnya, maka akan dijawab ia berlaku kerana hantu-hantu laut murka sebab tiada lagi amalan bersemah , jamu hantu atau puja pantai dilakukan. 

Untuk pengetahuan pembaca, suatu ketika dahulu sekitar tahun 1960-an, amalan menjamu hantu sememangnya amat popular dalam kalangan penduduk di perkampungan nelayan, termasuklah di sekitar Bachok. Masyarakat pada ketika itu amat peraya, andainya hantu laut murka, tidak sekadar hasil tangkapan mereka yang terjejas , malah keselamatan mereka juga bakal terancam. 

Mereka terbawa-bawa dengan ajaran khurafat yang diwarisi sejak zaman berzaman. Berkat kegigihan para pendakwah yang tidak pernah lelah dan mengalah dan kesedaran serta kefahaman beragama yang semakin meningkat, akhirnya amalan khurafat ini lebur dan berkubur. Walaupun begitu, masih terdapat segelintir warga tua yang masih mempercayai amalan tersebut. Mungkin kerana terkenangkan nostalgia silam atau mungkin kerana tembok kejahilannya belum terhakis. 


Kembali kepada tajuk, sejujurnya perlu diakui betapa perkembangan teknologi hanya mematangkan segelintir manusia sahaja. 

Dalam masa yang sama terdapat juga manusia-manusia yang semakin menjauh dari kecerdikan dan terhakis kematangan lantaran ledakan teknologi, termasuklah media sosial. Mereka gagal memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat, malah mereka hanyut dan lemas serta binasa bersama teknologi tersebut. 

Sebagai contoh, setiap kali berlaku tragedi atau peristiwa mangsa lemas di Pantai Irama, maka ramailah yang menuding jari kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia(JPAM), dan Majlis Daerah Bachok(MDB). Malah kadang-kadang Ahli Parlimen Bachok pun turut dipersalahkan. Inilah yang saya perhatikan di facebook, serangan dan kadang-kadang kutukan dan kecaman dihampurkan kepada mereka. 



Sebenarnya sesiapa sahaja yang berkunjung ke Pantai Irama, pasti sahaja akan terbaca amaran yang selayaknya dianggap sebagai larangan dan tegahan daripada melakukan mandi-manda dan bermain di tepian pantai, pada bulan November hingga Mac pada setiap tahun. Ini kerana pada tempoh tersebut laut sedang bergelora dan pelbagai musibah boleh menimpa. 

Tapi malangnya amaran tersebut tidak pernah dipedulikan. Sebagai contoh, pada 25 Disember 2015, seorang pelajar mati lemas di Pantai Irama, tetapi pada keesokan harinya sudah terdapat beberapa orang pengunjung yang mandi- manda di pantai tersebut. Ternyata walau dilarang berkali-kali dan ditegah berjela-jela, tetap masih ada pengujung yang leka dan tidak cakna. 

Jadi kepada pengunjung tolonglah akur dengan amaran yang diberi. Kepada pengguna media sosial terutamanya facebook, usahlah ghairah ingin menyalahkan JPAM, MDB atau pihak berkuasa. Kalian perlu faham sesungguhnya mereka kekurangan kakitangan. Kalian perlu faham, mereka sedari awal lagi sudah memberi amaran. Larangan dan tegahan telah diberi, tapi kedegilan tetap mengatasi. Jadilah pengguna facebook yang bijak dan matang. Berfikirlah sebelum melontarkan komen atau respons. 

Info Tambahan:

Walaupun entry ini khusus untuk insiden lemas di Pantai Irama, namun saya amat yakin kedegilan pengunjung merupakan punca utama berlakunya peristiwa lemas di mana-mana Pantai di negara kita. 

Viewing all articles
Browse latest Browse all 644