Merungkai kekeliruan isu tabung derma ketika Khatib Jumaat sedang berkhutbah.
Isu ini agak panas dan hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Alhamdulillah, seorang ilmuan hadis tempatan, iaitu Ustaz Kamilin Jamilin telah bersuara untuk merungkaikan kekeliruan ini.
Ramai yang masih musykil akan isu larangan menggerakkan tabung atau mengutip derma ketika imam sedang berkhutbah Jumaat, lalu bertanya: Kalau macam tu, nak tekan-tekan remote slide khutbah pun tak boleh lah? Atau adjust-adjust mic yang problem masa imam khutbah pun haram??
Saya jelaskan dalam isu ini terdapat 3 hadis utama yang dijadikan guideline, insyaAllah siapa yang memahami ketiga-tiganya ini akan memahami isu ini:
1. Hadis Abu Hurayrah RA, Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang memegang-megang batu (saat khatib berkhutbah), maka sia-sialah ia” [Riwayat Muslim].
2. Hadis: “Jika kamu mengatakan pada temanmu: Diam (sekalipun) di hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, maka kamu telah berbuat sia-sia” [Riwayat jama’ah kecuali Ibn Majah].
3. Hadis Ibn ‘Umar RA, Nabi SAW bersabda: “Jika salah seorang dari kalian berasa mengantuk di masjid di hari Jumaat (dalam riwayat al-Tabraniy: Ketika imam sedang berkhutbah), maka tukarlah posisi tempat duduknya” [Riwayat Ahmad & al-Tirmidziy].
PENJELASAN:
Hadis pertama menegah dari sebarang perbuatan sia-sia yang melekakan perhatian dari khutbah Jumaat walau dengan hanya bermain-main batu kerikil yang picisan.
Hadis kedua pula menegah dari berkata apapun ketika imam sedang berkhutbah Jumaat walau dengan niat baik menyuruh rakannya berdiam.
Kedua-dua hadis ini menegah dari sebarang kalam dan perbuatan yang sia-sia yang tidak memberi manfaat terhadap tumpuan kepada khutbah imam.
Dengan kata lain, ‘illahnya ialah:
a) Melakukan sesuatu yang sia-sia yang tiada kaitan dengan khutbah.
Contohnya: Main-main pen/ bersiwak tak pasal-pasal/ bertasbih yang tidak semena-mena.
b) Menarik tumpuan dari mendengar khutbah Jumaat.
Contohnya: Membeli atau menjual air/ berbual/ berzikir nyaring tak pasal-pasal.
Hadis ketiga pula berkaitan pergerakan yang diperlukan dalam membantu meningkatkan perhatian terhadap khutbah Jumaat. Dalam kes hadis tersebut dengan menukar tempat duduk jika mengantuk, kerana bergerak menukar tempat duduk dapat membantu mencergaskan diri untuk mendengar khutbah.
Jika sebarang pergerakan yang dilakukan memberi manfaat kepada khutbah itu sendiri, maka ia dibolehkan berdasarkan hadis ketiga Ibn ‘Umar RA tersebut.
Contohnya: Bersiwak sebentar kerana teramat mengantuk/ menutup henfon yang berdering/ menutup pintu kerana bunyi luar yang mengganggu suara khatib/ mengelap hingus yang meleleh-leleh/ tutup aircond yang bising/ dan termasuklah meremote control slide imam atau mengadjust mic yang bermasalah, kerana semua itu dilakukan demi maslahat khutbah.
Manakala mengutip derma atau menggerakkan tabung pula mengandungi perbuatan yang "lagha" yang tiada kaitan dengan khutbah dan mengganggu tumpuan Jemaah.
Moga-moga penjelasan ringkas ini meleraikan kekusutan…
Wallahu a’lam…
Sumber : Ustaz Kamilin Jamilin
Info Tambahan.
Dahulu, ketika zaman kanak-kanak di masjid kawasan saya, memang menjadi kebiasaan tabung derma masjid digerakkan atau diedarkan ketika Khutbah Jumaat. Tapi amalan tersebut telah lama berkubur, sejajar dengan kefahaman beragama. Boleh dikatakan di masjid-masjid di Kelantan, tabung derma hanya digerakkan setelah selesai solat jumaat. Cuma, di sesetengah masjid, tabung derma yang digerakkan atau diedarkan, manakala di sesetengah masjid pula petugas khas yang menjalankan aktiviti pungutan derma tersebut.
Sejujurnya saya kehairanan apabila terdapat sesetengah masjid di negara kita yang masih lagi menggunakan kaedah mengerakkan peti derma ketika khutbah sedang belangsung. Sepatutnya para Jemaah fokus dan pusatkan perhatian kepada intipati khutbah tersebut. Jadikan khutbah Jumaat sebagai sesi pembelajaran untuk mematangkan lagi kefahaman agama.