Hukum wanita menggunting rambut lelaki.
Bagi sesetengah individu perbuatan sebegini tidak dipandang sebagai satu dosa apatah lagi sebagai satu kesalahan. Malah dengan tenang dan senang mereka menganggap perbuatan ini sebagai lumrah atau kebiasaan.
Sebab itulah, agak ramai kaum lelaki tanpa mengira usia yang lebih gemar menggunting rambutnya di salon kecantikan dan pengguntingnya pula terdiri daripada perempuan yang kebiasaannya muda, cantik dan berpenampilan menarik.
Namun, apa pula hukumnya?
Adakah perbuatan sebegini diterima oleh islam?
Untuk merungkai persoalan ini, saya paparkan sahaja tulisan atau jawapan daripada Ustaz Haslin Baharim yang disiarkan di ruangan Zikir Zindagi dalam akhbar Metro Ahad bertarikh 12.Mac.2014. Walaupun jawapan atau penerangan beliau ringkas namun ia cukup padat dan mampu merungkaikan persoalan ini.
Saya paparkan sahaja jawapan Ustaz Haslin di sini.
Menurut beliau tiada keperluan sebenarnya untuk seseorang lelaki digunting rambutnya oleh wanita yang bukan mahramnya. Apatah lagi sekarang ini ramai lelaki yang mahir menggunting rambut. Malah, andainya perbuatan tersebut dilakukan juga, ia termasuk dalam kategori pergaulan bebas yang diharamkan.
Firman Allah, "Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka."(An-Nur:30).
Oleh itu, jauhkan daripada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang sebenarnya perbuatan ini akan mendorong kepada perbuatan melampau seperti bersentuhan, pencabulan dan penzinaan.
Perbuatan ini ditegah dengan firman Allah yang bermaksud "Dan janganlah kalian mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk."(Al-Israa'32)