![]() |
Majlis berbuka puasa tahun 2008: Bersama rakan-rakan guru SMKDHMT. Aku: paling kiri |
Ini adalah sebahagian daripada entry mengulit kenangan. Kenangan yang amat manis untuk dikenang walaupun ia bukannya kenangan terindah. Saya mendiami negeri Perak, atau lebih tepat lagi Chemor bermula 15 Januari 2007 hinggalah 5 Jun 2012. Lebih lima tahun saya bermukim di sana tentu sahaja menghidangkan nostalgia yang pelbagai yang tentu sahaja mewarnai kehidupan saya. Namun di sini, saya sekadar ingin merakyatkan nostalgia ramadhan yang pernah saya lalui sepanjang bermukim di sana.
Sebenarnya Perak merupakan negeri kedua yang menjadi pilihan saya untuk menabur bakti sebagai seorang pendidik. Ketika tahun akhir di Universiti Sains Malaysia(USM), saya telah memilih Kedah sebagai pilihan pertama untuk berkhidmat. Diikuti Perak, Melaka dan Johor.
Mungin ada yang bertanya, kenapa saya tidak memilih Kelantan sebagai lokasi dan untuk memulakan kerjaya sebagai seorang guru?. Sebenarnya saya tidak ingin bermimpi di siang hari, ini memandangkan terlalu sukar untuk terus berkhidmat di Kelantan, lalu saya tidak ingin mempersia-siakan empat pilihan yan diberi dengan membuat permohonan yang sia-sia.
Mungkin juga ada yang bertanya mengapa pula Kedah menjadi pilihan yang pertama? Sebenarnya sebelum itu, saya baru sahaja tamat menjalani latihan mengajar di sebuah sekolah Menengah di Kuala Ketil Kedah. Saya juga sering ke Baling dan lepak-lepak di bandar Sungai Petani. Bagi saya, Kedah dan Kelantan ada banyak persamaan, lalu saya memilih Kedah sebagai pilihan pertama. Takdir Tuhan, keempat-empat negeri yang saya pohon bukanlah ditakdirkan untuk saya. Sebaliknya, saya terpilih untuk berkhidmat di sebuah sekolah berasrama penuh di negeri di bawah bayu, iaitu Sekolah Menengah Sains Lahad Datu, Sabah. Kembali kepada tajuk, bercerita tentang puasa dan Ramadhan tentu sahaja beberapa perkara yang menjengah di minda. Antaranya Bazaar Ramadhan, juadah berbuka dan Solat Terawikh.
Ramadhan dan Bazar Ramadhan sememangnya tidak boleh dipisahkan. Kewujudannya tidaklah bermakna menodai Ramadhan sebagai bulan ibadat atau menjadikan Ramadhan sebagai pesta makanan. Kewujudannya perlu dilihat dalam pelbagai aspek termasuklah memudahkan masyarakat terutamanya orang-orang yang berpuasa untuk mencari juadah berbuka dan bersahur. Ia juga amat membantu meningkatkan pendapatan dan menjadi sumber ekonomi kepada para peniaga yang rata-ritinya terdiri daripada umat islam. Sepanjang menjalani ibadat puasa di Chemor, dari tahun 2007 hinggalah 2011, beberapa buah Bazar Ramadhan yang menjadi pilihan saya.
Di Pekan Chemor sendiripun memang disediakan Bazar Ramadhan, cuma juadahnya agak terhad dan peniaganya pula tidak ramai. Ini bersesuaian dengan keluasan tapak bazaar tersebut yang tak seberapa. Namun, ia sudah memadai untuk mencari juadah berbuka dan bekalan bersahur.
Seringkali juga saya ke Bazar Ramadhan yang terletak Tanjung Rambutan. Sepanjang tempoh saya menetap di sana, saya sempat menyaksian tiga kali perubahan tapak bazaar tersebut. Pada tahun 2007, tapak bazaar ramadhan adalah di bahagian hadapapan pekan tersebut. Manakala bermula 2008 pula, tapak bazaar dialihkan ke bahagian belakang pekan tersebut. Dan, bermula tahun 2010, ia beralih lagi ke Taman Perpaduan yang terletak beberapa kilometer dari Pekan Tanjung Rambutan. Begitu juga dengan bazaar Ramadhan yang terletak di Taman Jati, ia juga menarik untuk kunjungi.
Sekali sekala terutamnya pada hujung minggu, saya lebih gemar ke Bazaar Ramadhan yang terletak di persekitaran Stadium Indera Mulia, Ipoh.
.
![]() |
Ramadhan 2010. Aku terbabas kat Lenggong tika dalam perjalanan balik kampung |
Satu lagi Nostalgia Ramadhan yang pasti sahaja kekal melekat dalam ingatan saya, selagi hayat dipinjamkan Tuhan, ialah nostalgia terbabas sewaktu memandu ketika pulang untuk berhari raya di kampung halaman.
Peristiwa ini berlaku pada tahun 2010, dan ia berlaku beberapa hari sahaja menjelang Aidilfitri. Disebabkan terlalu mengantuk, saya tidak dapat memandu dengan baik, dan natijahnya kereta yang saya pandu terbabas ke dalam longkang di Lenggong Perak.
Setelah membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di klinik Lenggong, saya akhirnya meminta bantuan seorang rakan untuk ke Pekan Gerik. Dari sana, saya menaiki teksi untuk balik ke kampung di Bachok Kelantan. Cerita lanjut tentang peristiwa ini pernah saya perincikan dalam entry lepas, lihat SINI.
Chemor kini telah menjadi sebahagian daripada sejarah hidup saya, sebagaimana Pulau Pinang, Kuala Ketil dan Baling di Kedah dan Lahad Datu di Sabah. Saya himpun segala pengalaman semasa di perantauan , tidak sekadar untuk dikenang tapi sebagai panduan untuk mengatur langkah dan menyusun jejak.
Tajuk Lain Yang Berkaitan: