Anak Husam Musa ditahan polis bersama 200 biji pil kuda.
Hari ini viral di media sosial kisah anak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor , yang juga merangkap Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa yang ditahan polis kerana memiliki 200 biji pil kuda seberat kira-kira 20 gram kelmarin.
Ahmad Syafi, 29, ditangkap di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong, Kota Bharu, Kelantan selepas bergelut secara agresif dengan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, anak Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk perintah tahanan reman selama empat hari bermula semalam.
Sumber : Kosmo
Sementara itu, Datuk Husam Musa memaklumkan beliau hanya mengetahui penahanan anaknya, Ahmad Syafi atas tuduhan memiliki pil kuda menerusi imej laporan sebuah portal yang dihantar kepadanya.
ADUN Salor itu juga memberitahu beliau tidak dimaklumkan secara rasmi oleh polis mengenai penahanan itu dan tentang anaknya akan dibawa ke Mahkamah untuk tahanan reman pagi tadi.
Info Tambahan.
Berita ini menjadi hangat dan bertiup kencang kerana ia melibatkan anak seorang tokoh politik yang terkenal. Siapa yang tidak mengenali YB Husam Musa. Beliau adalah antara pemimpin Parti Amanah Negara(PAN) yang paling tersohor. Malah popularitinya mengalahkan Presiden parti itu, Mat Sabu dan beberapa pemimpin parti serpihan PAS tersebut.
Malah, YB Husam Musa juga dikatakan bakal dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan andainya Pakatan Harapan dapat menumbangkan PAS dalam Pilihanraya Umum Keempat belas nanti.
Kesimpulannya kisah atau cerita ini tidak akan diperkatakan andainya ia hanya melibatkan orang biasa atau tidak ternama. Tapi bila melibatkan orang politik maka ia menjadi hangat dan sensasi.
Berkaitan hal ini kita sepatutnya melihat isu ini dengan tenang dan matang. Lebih utama dari kisah penangkapan anak Husam Musa, ia memaparkan realiti hari ini yang perlu difahami dan disedari oleh seluruh masyarakat. Iaitu betapa kroniknya masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda pada hari ini.
Dari perkampungan nelayan dan kawasan pedalaman serta tanah rancangan felda hinggalah ke bandar-bandar besar kita dapat menyaksikan anak-anak muda Melayu yang ditewaskan oleh dadah durjana.