Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai agar berwaspada dengan penjualan ubat yang tidak berdaftar dan tidak mendapat kelulusan KKM menerusi laman sosial terutamanya Facebook.
Ubat-ubat tersebut tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia dan ia juga dijual dengan harga yang murah.
Ketua Penolong Pengarah Farmasi, Jabatan Kesihatan Kelantan Mohammad Aswady Adenan berkata, kaedah perniagaan online atau dalam talian menjadi medium kumpulan peniaga yang ingin meraih keuntungan mudah.
Menurutnya lagi, kumpulan peniaga ini juga semakin berani apabila menjual ubat tidak berdaftar seperti ubat perangsang seks, penenang saraf dan kosmetik secara dalam talian. Selain itu.
Mereka juga akan mempamerkan hasil testimoni ubat yang mereka jual untuk menarik pelanggan.
Kaedah perniagaan online digunakan kerana kumpulan ini merasakan aktiviti mereka tidak dapat dikesan anggota penguatkuasa selain merasakan ia lebih selamat kerana kebanyakan mereka ini beroperasi di rumah.
Katanya lagi, setiap ubat yang ingin dijual di Malaysia perlu mendapat kelulusan KKM, jika tidak ubat itu mungkin mempunyai risiko tertentu seperti ia telah dicampur dengan racun atau steroid.
"Jika kita guna ubat yang dicampur dengan bahan seperti steroid ia akan memudaratkan kesihatan. Memanglah ia akan beri kesan segera tetapi masa akan datang kesihatan akan terjejas," tegasnya lagi..
Mohammad Aswady berkata, cara mudah untuk mengesan ubat yang tidak berdaftar ialah tidak mempunyai Nombor Pendaftaran 'MAL' dan juga pelekat hologram KKM. Jadi kepada orang ramai atau pengguna perlulah memastikan botol ataupun kotak ubat tersebut mempunyai dua elemen itu, barulah ubat itu selamat untuk digunakan.
Berita penuh, langsung sahaja ke -->Sinar Harian
INFO TAMBAHAN.
Itu mengenai ubat yang tidak berdaftar dan dijual secara online di media sosial. Tapi bagaimana pula dengan ubat yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia?
Adakah ia benar-benar selamat untuk digunakan.?
Atau mungkinkah ubat yang berdaftar juga ‘dicemari’ oleh bahan-bahan yang membahayakan kesihatan pengguna?
Saya terumpa keratan akhbar lama, iaitu akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 8 Julai 2007. Pada halaman 5, ada tajuk berita bertajuk Kandungan produk herba ditukar selepas terima kelulusan.
Kementerian Kesihatan Malaysia, pernah mendedahkan betapa terdapatnya beberapa pengeluar produk herba( pada pandangan admin : termasuklah juga ubat-ubatan) yang memasukkan bahan berbahaya ke dalam produk herba mereka setelah produk tersebut mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan pada ketika itu, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, pengeluar menghantar sampel produk yang mematuhi piawaian Kementerian bagi memperolehi kelulusan tersebut, dan kemudiannya menambah bahan berbahaya selepas produk mereka diluluskan bagi mempercepatkan kesan yang dijanjikan kepada pengguna.
Antara produk yang terlibat ialah produk menguruskan badan dan juga kosmetik bagi memutihkan kulit.
Itu kisah pada tahun 2007, namun adakah perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut sudah tidak berlaku lagi.?
Kementerian Kesihatan Malaysia yang mempunyai jawapan untuk pertanyaan ini.
Walau apapun, sebagai pengguna kita perlu berwaspada selalu ketika membeli dan menggunakan produk-produk sebegini. Apatah lagi, pada hari ini, media sosial berupaya menukarkan ‘iblis menjadi malaikat’ dan racun menjadi penawar. Hati-hatilah kerana tidak kurang juga produk-produk yang dijual secara online ini mengguna pakai nombor pendaftaran yang palsu.